Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Penyanyi dan pelakon Ebi Kornelis yang kini masih menerima rawatan akibat jangkitan COVID-19 hari ini menerima khabar sedih mengenai ibunya yang dilaporkan meninggal dunia akibat virus berkenaan.

Difahamkan, ibunya Reni Bakar,81, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) kira-kira jam 9.42 malam tadi selepas dibawa ke hospital berkenaan pada tengah hari semalam.

Ebi ketika dihubungi petang tadi turut mengesahkan perkara itu, namun beliau hanya mengiyakan dan enggan bercakap lanjut kerana berada dalam keadaan lemah kerana masih menerima rawatan akibat jangkitan COVID-19.

Berita kematian ibu Ebi itu dikongsikan kenalan dan rakan beliau melalui laman Facebooknya yang merakam ucapan takziah selain mendoakan agar Naib Juara Akademi Fantasia (AF) musim kelima itu terus tabah menghadapi dugaan berkenaan.

Pada 8 Ogos lalu, Ebi turut berkongsi di laman Facebook mengenai keadaan dirinya dan ayahnya, Yaimal Muhammad, 74, yang dijangkiti COVID-19.

Difahamkan, ayahnya juga masih menjalani rawatan akibat jangkitan virus berkenaan di HQE.

Ebi sebelum ini turut menyatakan kerisauannya mengenai keadaan ibunya yang berseorangan di rumah selepas dia dan ayahnya terpaksa dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) sebelum dimasukkan ke hospital.

Dalam perkongsian di Facebooknya sebelum ini, Ebi menitipkan kata-kata peringatan kepada pengikutnya bahawa COVID19 bukan mainan, selain memohon agar didoakan kesembuhan daripada ancaman virus berkenaan.

“Ya Allah Ya Tuhan ku, tuhan yang maha besar memiliki segala isi bumi dan langit…Saya dan keluarga sekarang sedang diuji dengan Covid-19.

“Mohon doakan kesembuhan saya dan keluarga, bapa dan mama. Ampunkanlah dosa-dosa dan kesalahanku sama kamu semua sama ada zahir atau batin.

“Aku terima ujian Allah…..Tiada tuhan selain Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah..#covid19 #covidbukanmainan,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook beliau sebelum ini.

One thought on “Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia

  1. Semoga Allah berikan kesembuhan buat keluarga Ebi…..kuatkan semangat utk sembuh. Innalillahi wainna ilaihirojiun atas kembalinya ke rahmatullah ibu Ebi…..semoga seluruh keluarga Ebi tabah atas kehilangan ibu tercinta…

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *