Jabatan Penerangan Sabah Laksana ‘Info On Wheel’ Merdeka

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

PAPAR: Jabatan Penerangan Negeri Sabah menggerakkan sebanyak 30 buah kenderaan  melibatkan seramai 120 kakitangan bagi melaksanakan Info On Wheels (IOW) Merdeka sehingga 16 September depan.

Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Harun Maddasa berkata, sejak dilancarkan 7 Ogos lalu di peringkat negeri, pihaknya menyasarkan 25 daerah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“Menerusi program IOW Merdeka, kita mengadakan hebahan merdeka dan mengagihkan Jalur Gemilang di 25 daerah masing-masing seluruh Sabah untuk menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.

“Sebagai jabatan yang diberi tanggungjawab kepada kempen ini, kita menggerakkan seramai 120 anggota dengan 30 buah kenderaan ke lokasi-lokasi yang ditetapkan dengan kerjasama pintar bersama para pemimpin masyarakat, jabatan serta agensi kerajaan, NGO dan komuniti setempat,” katanya.

Mengulas mengenai kaedah pelaksanaan kempen terbabit dalam situasi kes COVID-19 yang terus meningkat di Sabah ketika ini, Harun menjelaskan, semua acara kempen dijalankan secara ringkas dengan kehadiran yang minimum dan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tinggi.

“Simbolik penyerahan Jalur Gemilang kita adakan seiring dengan program jangkauan luar CITF di semua daerah.

“Selain itu, kita juga mengadakan kempen kibar Jalur Gemilang di seluruh pelosok bandar, pekan, taman serta kampung malah di kawasan pedalaman juga tanpa mengabaikan norma baharu. 

“Kita berharap agar masyarakat di negeri ini sama-sama menyemarakkan semangat merdeka untuk memerdekakan diri daripada COVID-19,” katanya. 

Beliau ditemui media selepas menyempurnakan simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Mohd Tamin Zainal dan Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn Bhd, Datuk Ag Buthaman Mahmun dalam Program Outreach CITF Daerah Papar di SK Pantai Manis, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee, Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Mohd Rosli Ibrahim, Penolong Pegawai Daerah, Janudin Jumat dan Pegawai Penerangan Daerah Papar, Sam Mansibu./PENERANGAN.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *