HomeUtamaKadar Vaksinasi Di Sabah Perlu Terus Dipertingkat, Kunci Kepada Penurunan Jumlah Kes...

Kadar Vaksinasi Di Sabah Perlu Terus Dipertingkat, Kunci Kepada Penurunan Jumlah Kes Positif COVID-19

Read Time:2 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Beberapa pakar kesihatan Sabah menyeru agar kadar vaksinasi bagi negeri itu dipertingkat bagi mengelakkannya berada dalam situasi dihadapi Lembah Klang berhubung jangkitan Covid-19 baharu.

Dua pakar daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, menggiatkan program vaksinasi menjadi kunci kepada penurunan jumlah kes, yang mencapai tahap tertinggi sebanyak 1,383 semalam.

Dr Kew Seih Teck, pakar perunding pediatrik di Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan UMS, juga berkata, unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital negeri perlu menempatkan lebih banyak katil, terutamanya Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu.

Kew, yang juga pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah, berkata ruang terbuka seperti koridor hospital dilaporkan telah ditukar menjadi wad Covid-19.

Katanya, QEH telah berubah menjadi hospital Covid-19 akibat lonjakan jangkitan, dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma hanya menerima pesakit Covid-19 yang kritikal.

“Kami berharap dan berdoa agar kami tidak menjadi seperti Lembah Klang,” katanya.

“Kuncinya adalah vaksinasi. Setakat ini, itu satu-satunya bukti bahawa ia dapat mencegah jangkitan, bahkan varian Delta, atau sekurang-kurangnya, (penyakit) tidak menjadi parah.

“Kami tidak mahu mencapai tahap di mana kami sudah tiada katil ICU untuk merawat pesakit kritikal,” katanya.

Pada 5 Ogos, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih 1,000 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital setiap hari di Lembah Klang.

Katanya, kemasukan ke hospital di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat 33% berbanding hanya dua minggu lalu, menambah beban kepada sistem kesihatan awam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun juga berkata semalam, jumlah kes Covid-19 baharu di negeri berkenaan akan terus meningkat melainkan kadar vaksinasi dipertingkat.

Semalam, jumlah jangkitan baharu meningkat kepada 1,383. Rekod tertinggi sebelumnya adalah 1,379 pada Ahad, dan dengan 1,291 kes pada Jumaat, jangkitan harian baharu telah mencapai tahap tertinggi tiga kali dalam tempoh hanya lima hari.

Setakat Isnin, 1,126,645 individu, atau 40.8% daripada populasi dewasa di Sabah, telah menerima dos pertama, tetapi hanya 485,880, atau 17.6% daripada populasi, telah menerima dos kedua.

Masidi berkata, kerajaan terus meningkatkan kapasiti vaksinasi Jabatan Kesihatan, namun bekalan vaksin mesti ada dan mencukupi pada setiap masa.

Pakar perubatan kesihatan awam kanan UMS, Dr Yusof Ibrahim, yang juga ketua unit kesihatan awam, berkata liputan vaksinasi di Sabah masih antara yang terendah, namun langkah kerajaan negeri untuk menggiatkan vaksinasi disambut baik.

“Jika kita dapat capai 80% pada Oktober, kes-kes akan turun. Kita juga sedang berdepan (penularan) varian Delta, yang lebih mudah dan cepat menular.

“Kami semua bekerja keras untuk mencapai sasaran ini. UMS kini dibuka kepada umum dan (perkhidmatan) kami meliputi 3,000 orang setiap hari. Kami juga mempunyai pasukan bergerak untuk mencapai kawasan luar bandar,” katanya.

Kew juga menyambut baik berita bahawa cabang pelaburan kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Group, akan membeli 250,000 dos vaksin Sinovac tetapi turut berkata, lebih banyak diperlukan.

“Kerajaan negeri perlu lebih proaktif dan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memperoleh lebih banyak bekalan vaksin, bukan hanya menunggu kerajaan persekutuan.

“Saya percaya jika kita ada iltizam, kita boleh dapat sokongan kewangan. September lalu, cawangan MMA Sabah melancarkan kempen mengumpul dana Covid-19 dan dalam masa tiga bulan, kami berjaya mengumpulkan lebih RM2 juta dalam bentuk wang tunai dan peralatan untuk disumbangkan kepada hospital-hospital Sabah.

“(Kerajaan) negeri sepatutnya boleh buat lebih baik,” katanya.- FMT

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Sabah sedia pelbagai bantuan pendidikan, pastikan rakyat mampu bersaing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular