COVID-19: Kes tinggi tapi kadar penularan terkawal

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU : Kes Positif COVID-19 di Sabah hari ini dilihat amat tinggi namun kadar penularan masih berada dalam tahap terkawal.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes positif COVID-19 di Sabah hari ini (12 Ogos 2021) mencatatkan angka tertinggi iaitu 2,052 kes.

Katanya, 2052 adalah angka yang amat menggerunkan dan memang diakui ia antara angka tertinggi dikalangan negeri-negeri di Malaysia, di mana Sabah berada di tangga ke-4 tertinggi.

“Mungkin ada yang mengatakan kita sudah gagal membendung penularan COVID-19 di negeri ini. Kalau sekadar melihat angka semata-mata mungkin kesimpulan itu ada asasnya.

“Hari ini juga memperlihatkan kenaikan ketara di hampir semua negeri dalam Malaysia, malah di banyak negara di dunia.

“Bagaimanapun jumlah kes seluruh negara hari ini ialah 21,668, satu rekod baharu. Hakikatnya kita sedang berhadapan dengan gelombang baharu jangkitan COVID-19, kali ini dengan varian yang lebih merbahaya dan lebih cepat merebak,” katanya.

Masidi juga menunjukkan kiraan kadar jangkitan (infectivity rate) mengikut ratio (nisbah) jumlah penduduk iaitu kebarangkalian ianya satu kaedah kiraan yang lebih tepat untuk menentukan samada tinggi atau rendahnya tahap penularan dan jangkitan dikalangan penduduk.

Berikut ialah kadar jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk di negeri-negeri di Malaysia berdasarkan maklumat kes COVID-19 pada 12 Ogos 2021:

Selangor – 96 kes
Kuala Lumpur – 137 kes
Johor – 45 kes
Sabah – 52 kes
Sarawak – 43 kes
Negeri Sembilan – 79 kes
Kedah – 110 kes
Pulau Pinang – 69 kes
Kelantan – 50 kes
Perak – 37 kes
Melaka – 52 kes
Pahang – 37 kes
Terengganu – 47 kes
Labuan – 11 kes
Putrajaya – 49 kes
Perlis – 9 kes.

Katanya, Jumlah kes baharu di Sabah hari ini (2052) lebih tinggi daripada Negeri Sembilan (899), Pulau Pinang (1,299) & hampir 5 kali ganda lebih tinggi daripada Melaka.

Namun kadar penularan Covid di Sabah lebih rendah daripada Pulau Pinang (52-69), lebih rendah daripada Negeri Sembilan (52-79), sama dengan Melaka (52-52), hampir sama dengan Kelantan (52-50) walaupun kes di Sabah lebih dua kali ganda lebih tinggi daripada Kelantan, lebih separuh lebih rendah daripada Kedah (52-110) walaupun kes di Kedah cuma 91 lebih tinggi daripada Sabah.

“Kesimpulannya kes positif COVID-19 di Sabah amat tinggi tetapi kadar penularan (infectivity rate) masih terkawal, oleh itu sama-sama kita jaga diri dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan kita memperolehi vaksin bagi yang layak,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *