Bantuan Bakul Makanan Ringan Beban Penduduk Terjejas PKPD

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU : Penduduk di beberapa lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini berasa lega apabila kerajaan negeri Sabah mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas PKPD.

Beberapa penduduk yang dihubungi turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan yang telah mengagihkan bantuan dengan cepat dan pantas.

Bagi salah seorang penduduk di Taman Jaya Diri Sepanggar, Nurhafizah Hussin,36, berkata, bantuan bakul makanan itu tepat pada masanya dan bermanfaat kepada keluarganya selepas hampir enam minggu dikenakan PKPD.

“Bantuan kepada penduduk yang dikenakan PKPD ini amat tepat kerana kami sukar untuk keluar daripada rumah lebih-lebih lagi saya masih dalam tempoh berpantang selepas bersalin ketika PKPD dilaksanakan.

“Dikawasan perumahan saya, PKPD mula dikenakan pada 3 Julai lalu dan berakhir 8 Ogos dan dalam tempoh itu, kami sekeluarga mendapat bantuan bakul makanan sebanyak tiga kali, syukur, ia mampu menampung keperluan kami sekeluarga ketika itu,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas keprihatinan menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas khususnya yang dikenakan PKPD.

Dari kiri, Nurhafizah Hussin, Hasmin Basri (tengah) dan Justin Amat

Bagi penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang Ria Hasmin Basri,29, turut mengakui bantuan bakul makanan itu amat bermakna kepada rakyat khususnya ketika mendepani pandemik COVID-19.

“Kami menerima hanya sekali sahaja memandangkan kawasan kami hanya dikenakan PKPD selama dua minggu bermula 24 Julai lalu.

“Namun ia cukup bermakna dan saya merakamkan terima kasih kepada petugas yang membantu menghantar bekalan bantuan makanan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk di PPR Gayang Ria Justin Amat,39, bantuan bakul makanan itu dapat memastikan penduduk tidak keluar rumah kerana terdapat bekalan makanan yang diagihkan kerajaan.

“Sepanjang tempoh PKPD yang dilaksanakan baru-baru ini dikawasan saya, saya tetap duduk di rumah bersama keluarga kerana bagi saya tiada keperluan untuk keluar rumah.

“Bantuan bakul makanan itu cukup keperluan kami keluarga.  Terima kasih kerajaan Sabah kerana menyalurkan bantuan berupa bakul makanan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *