BERNAMA
KUALA LUMPUR, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat satu pengumuman khas esok, demikian menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
“Insya-Allah ada pengumuman (oleh Muhyiddin)… apa pun kita tunggulah esok,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat khas Bersatu di Publika, Jalan Dutamas, di sini hari ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan dihadiri beberapa pimpinan tertinggi parti.
Antara yang kelihatan hadir pada mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam bermula jam 9 pagi itu ialah Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan ahli MPT iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Kamarudin Jaafar, Datuk Mansor Othman serta Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Selain pimpinan Bersatu, turut kelihatan hadir adalah Ahli Parlimen Kuala Langat (Bebas), Datuk Dr Xavier Jayakumar.