HomeUtamaMuhyiddin Jalankan Tugas 'Caretaker' hingga PM baharu dilantik - Istana Negara

Muhyiddin Jalankan Tugas ‘Caretaker’ hingga PM baharu dilantik – Istana Negara

Read Time:1 Minute, 56 Second

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yasin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Baginda juga berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seluruh jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa hari ini.

“Susulan peletakan jawatan ini, baginda berkenan supaya Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin Md Yasin (Muhyiddin) menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ hingga Perdana Menteri baharu dilantik.

“Ini selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020 khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Selaku Ketua Utama Negara, baginda memahami dan menghormati sistem serta proses perundangan negara dan menghormati apa-apa keputusan yang dibuat Muhyiddin berteraskan keluhuran perlembagaan persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

“Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 11 Ogos lalu daripada 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah Covid-19.

“Pada masa sama, baginda turut mengambil maklum fasiliti kesihatan negara juga dalam situasi membimbangkan, justeru pada hemat baginda pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 bukan satu pilihan terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat,” katanya.

Katanya, baginda juga menzahirkan harapan supaya kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan dan sudah mengganggu kelancaran tadbir urus negara dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam pandemik Covid-19.

“Baginda mengambil kesempatan menyeru seluruh rakyat supaya bertenang dan bersama baginda mendoakan negara di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

Hari ini, baginda berkenan menerima sesi menghadap Muhyiddin yang berlangsung 30 minit bermula 12.30 tengah hari, manakala Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bermula 11 pagi di Istana Negara. – HM

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular