HomeUtamaDua Nelayan Disambar Petir Ketika Menangkap Ikan

Dua Nelayan Disambar Petir Ketika Menangkap Ikan

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu, telah mengaktifkan Operasi CARILAMAT pada jam 8.00 malam semalam, berikutan aduan awam mengenai dua nelayan tempatan hilang disyaki disambar petir semasa memancing di perairan Pulau Dinawan, Kinarut sekitar jam 6.45 petang semalam dekat sini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, mangsa dilaporkan telah keluar ke laut bersama anak dengan menaiki bot pam berasingan untuk menangkap ikan di pesisir pantai sekitar jam 5.30 pagi semalam dan dilaporkan hilang setelah tidak pulang pada sebelah petang.

Katanya, mangsa Mohd Nasir Abdul Nasir, 62 dan anaknya Abdullah Mohd Nasir, 20, disyaki telah disambar petir ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada jam 4.00 petang.

“Nelayan tempatan yang berada di sekitar lokasi telah menemui mayat anaknya, Abullah Mohd Nasir dan membawanya ke hospital, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Papar pada jam lebih kurang 7.00 petang semalam.

“Manakala mangsa kedua, Mohd Nasir masih belum ditemui dan usaha-usaha CARILAMAT bagi mengesan mangsa diteruskan dengan koordinasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melibatkan atur gerak Bot Pengawal 39 serta dibantu beberapa aset daripada agensi sahabat yang lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),”katanya.

Namun Operasi CARILAMAT mangsa telah masuk hari kedua dengan keluasan pencarian 50 batu nautika persegi dan setakat ini masih belum menemui tanda-tanda atau petunjuk positif berkaitan mangsa di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim untuk terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut seperti peka dengan keadaan cuaca semasa, memakai jaket keselamatan, pastikan keadaan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi (PLB) serta maklumkan kepada kaum keluarga atau sahabat yang lain lokasi dan tujuan ke laut.

Maritim Malaysia juga memohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan, aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku dipersekitaran perairan Kota Kinabalu ditalian Pusat Operasi MN Sabah 088-387774 atau 999 (MERS).

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular