PN Sokong Ahli Parlimen Bera Sebagai Calon PM Baharu Namun Bersyarat – Muhyiddin Yassin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]

KUALA LUMPUR : Parti Perikatan Nasional (PN) sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri kerajaan PN yang baharu.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, semua 50 ahli Dewan Rakyat dari parti-parti gabungan PN telah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara semalam menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Bera itu sebagai calon Perdana Menteri.

“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihanrata Umum bagi mengembalikan mandate kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan disini petang ini.

Muhyiddin yang kini menjadi Perdana Menteri Sementara berkata, keputusan itu juga bermakna PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

Katanya, apabila berdepan dengan situasi krisis, ahli politik mestilah berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara.

“Selaras dengan prinsip PN untuk mempertahankan kerajaan yang berintegriti, suka saya menegaskan bahawa sokongan PN kepada calon Perdana Menteri ke-sembilan adalah bersyarat.

“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan ahli jemaah menteri yang bakal dilantik terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di Mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berpelembagaan.

Beliau turut berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Selaki Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 apabila tiba masanya,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Rakyat terdiri dari parti-parti gabungan PN adalah membabitkan 31 Ahli Dewan Rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU); 18 dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan 1 dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *