((VIDEO)) 114 Ahli Parlimen BN,PN & GPS Selesai Menghadap Agong, Perjumpaan Nyata Sokongan Kepada Ismail Sabri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KUALA LUMPUR: Semua 114 Ahli Parlimen mewakili Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta bebas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara petang tadi.

Sesi terakhir menghadap Yang di-Pertuan Agong membabitkan Ahli Parlimen PAS yang keluar meninggalkan Istana Negara kira-kira jam 3.50 petang dimana sesi itu diketuai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang.

Pada sebelah pagi tadi, beberapa kumpulan terdiri dari Ahli Parlimen BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut menghadap Yang di-Pertuan Agong  hingga tengah hari.

Sesi yang dibahagikan sebanyak lima kumpulan itu dimulakan dengan sesi pertama membabitkan Ahli Parlimen UMNO yang tiba di Istana Negara pada jam 10.38 pagi.

Daripada lima sesi menghadap itu, empat sesi dibuat secara fizikal dengan Ahli Parlimen dimana setiap Ahli Parlimen diberi masa antara satu hingga dua minit secara bergilir-gilir untuk menyembah maklum secara lisan sokongan kepada calon Perdana Menteri.

Bagi Ahli Parlimen GPS, sesi menghadap mereka disempurnakan secara maya.

Sesi menghadap hari ini bertujuan mengesahkan surat akuan sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.

Difahamkan sehingga petang tadi, sesi menghadap Ahli Parlimen hanya membabitkan blok BN, PN, GPS serta bebas tanpa kehadiran Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) Plus.

Sementara itu, Setiausaha Agong UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setiap Ahli Parlimen yang menghadap Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan kepada calon Perdana Menteri secara sukarela dan tanpa paksaan.

Katanya, kesemua ahli Parlimen ditemuduga setiap seorang semi seorang secara ringkas oleh Seri Paduka dengan menyatakan nama dan dari kawasan mana kemudian menyatakan sokongan kepada calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri.

“Saya kira ini adalah satu pengalaman yang penting kepada 114 ahli Parlimen yang menyokong Ahli Parlimen Bera itu.

“Proses selepas ini akan ditentukan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan saya berharap kerajaan seterusnya dapat membela rakyat, menyelesaikan masalah pandemik COVID-19 dan ekonomi,” katanya

Semalam, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya mengumpul jumlah surat akuan (SD) tertinggi iaitu dengan 114 sokongan sekali gus mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *