KUALA LUMPUR : Sabah menjadi negeri pertama menerima vaksin dos tunggal COVID-19 jenis CanSino selepas ia tiba di Malaysia pagi tadi.
Perkara itu dinyatakan menerusi hantaran di Instagram bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Khairy yang sebelum ini menjadi Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berkata, vaksin dos tunggal itu amat berguna dan sesuai digunakan di kawasan sukar dicapai.
“Vaksin dos tunggal CanSino akhirnya tiba, berguna untuk kawasan sukar dicapai, penghantaran pertama akan dihantar ke Sabah,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Penghujung Julai lalu, Khairy dalam satu pertemuan secara maya bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan akan memberi keutamaan kepada Sabah untuk menerima vaksin dos tunggal itu.
“Kami akan membuat penghantaran pertama untuk Sabah dan juga, kami akan memberitahu dan memberi pilihan kepada Sabah mengenai Johnson & Johnson (vaksin satu dos),” katanya.
Pagi tadi, Malaysia mula menerima vaksin dos tunggal COVID-19 apabila sebanyak 200,000 dos jenis CanSino tiba dari China.
Menerusi hantaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Twitter, kesemua 200,000 dos vaksin itu adalah berbentuk produk telah siap atau finished product.
Tambah JKJAV lagi, ianya adalah sebahagian daripada 3.5 juta vaksin CanSino yang ditempah Malaysia dan akan dihantar oleh pembekal, CanSino Biologics, China secara berperingkat.
Vaksin dos tunggal itu tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH3-6-1 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 8.43 pagi tadi.
Vaksin-vaksin berkenaan disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah.