Hajiji Mohon Kerajaan Persekutuan Naik Taraf Hospital Tuaran

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf Hospital Tuaran sebagai hospital pakar.

Hajiji berkata, kedudukan Hospital Tuaran di jalan utama bagi pembinaan jalan Pan Borneo dan laluan utama yang menghubungkan Bandaraya Kota Kinabalu, pantai barat utara dan pantai timur Sabah, amat sesuai untuk dinaik taraf sebagai hospital pakar.

“Selain itu, hospital ini masih mempunyai kawasan tapak pembinaan yang mencukupi. Justeru, usaha menaiktaraf ke hospital pakar amat penting.

“Ini juga adalah permintaan tinggi daripada rakyat untuk mempunyai satu hospital pakar yang dilengkapi dengan kemudahan perubatan.

“Terutama ketika pandemik COVID-19 ini, usaha menaiktaraf Hospital Tuaran ini amat perlu dan kita berharap ia dapat direalisasikan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Sulaman di sini pada Sabtu.

Menurut Hajiji lagi, dengan menaiktaraf Hospital Tuaran menjadi hospital pakar ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kepakaran kawalan infeksi (jangkitan) kerana belum ada hospital di Sabah yang memfokuskan kepakaran dalam bidang ini dan juga menjadi surgical base.

Selain hospital pakar, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan negeri juga berharap kerajaan Persekutuan dapat membantu membina klinik kesihatan di dua kawasan di Tuaran iaitu Sulaman dan Pantai Dalit.

“Dengan adanya kemudahan kesihatan ini, ia membolehkan penduduk setempat mendapat rawatan awal selain di hospital kerajaan,” katanya.

Terdahulu dalam lawatan kerja sehari ke Tuaran, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut melakukan lawatan ke Hospital Tuaran dan menerima bakul makanan daripada Persatuan Jurutera Malaysia Cawangan Sabah ( ACEM) dan Syarikat Forever Living, untuk diserahkan kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau turut menerima taklimat berkaitan Hospital Tuaran yang disampaikan oleh Pengarahnya, Dr G Mohan Gopal Naidoo.

Hajiji juga melawat pusat ternakan udang galah di Kampung Shabandar, di sini.

Turut hadir semasa lawatan itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasnih Daya dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai serta Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *