KUALA LUMPUR: Selepas tamat Sukan Olimpik 2020, arena sukan tanah air akan dimeriahkan sekali lagi dengan aksi atlet para negara yang akan beraksi pada temasya Sukan Paralimpik 2020 yang bakal membuka tirai secara rasminya pada Selasa ini.
Doa seluruh rakyat Malaysia pastinya ditagih atlet istimewa negara bagi mengiringi perjuangan mereka di bumi Tokyo, sama seperti sama yang dirasai atlet negara ketika beraksi di pentas Olimpik baru-baru ini.
Dengan misi membawa pulang tiga pingat emas sekali gus menyamai pencapaian lima tahun di Paralimpik Rio 2016, barisan 22 atlet negara yang menggalas cabaran dalam sembilan jenis sukan sememangnya sudah bersedia untuk turun berjuang.
Ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyifatkan atlet negara ketika ini umpama ‘singa lapar’ yang bersedia untuk membaham mangsa mereka dalam usaha melakar kejayaan buat Malaysia.
Katanya, semua atlet sememangnya dahagakan kejohanan untuk disertai selepas segelintir daripada mereka sudah lama ‘terkurung’ susukan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak awal tahun lalu.
“Saya fikir mereka tidak akan sia-siakan peluang beraksi di Paralimpik Tokyo ini. Apa membuatkan saya bertambah gembira adalah melihat keakraban semua 22 atlet yang akan bertanding kali ini yang mana mereka semua bersatu hati tidak kira daripada sukan apa sekalipun.
“Saya tidak nampak mereka berbalah antara satu sama lain atau berlagak ‘superstar’, sebaliknya semua sama saja.
“Bukan mahu kata yang faktor itu membuatkan saya yakin tetapi ia sekurang-kurangnya boleh digunakan sebagai kayu pengukur kerana ia membuktikan kekuatan mental mereka pada tahap terbaik dan hanya fokus kepada persiapan bagi menghadapi Sukan Paralimpik kali ini.
“Saya juga beritahu kepada mereka yang mana temasya di Tokyo ini sajalah yang ada untuk sesetengah sukan. Jadi, nak patah-riuk ke apa semua di Tokyo, jangan buat separuh jalan” katanya kepada BH Sukan.
Pada temasya kali ini, lima atlet iaitu dua atlet olahraga, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly selain pemain badmiton para, Cheah Leik Hou; atlet memanah, S Suresh dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin diletakkan sebagai sandaran utama bagi merealisasikan sasaran tigas emas kontinjen negara.
Pada edisi Rio 2016, kontinjen para negara berjaya membawa pulang tiga emas dan satu gangsa.
Emas disumbangkan Ziyad dalam acara lontar peluru, Abdul Latif (lompat jauh) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter) manakala gangsa diraih Siti Radiah Ismail (lompat jauh wanita).
Megat yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), berkata biarpun hanya tiga emas menjadi buruan tetapi beliau tidak menolak kemungkinan ia boleh melebihi sasaran ditetapkan.
“Sasaran tiga emas adalah realistik. Kita sandarkan kepada empat jenis sukan iaitu olahraga, badminton, memanah dan angkat berat. Tidak kisahlah siapa-siapa antara lima atlet berkenaan yang dapat menyumbangkan emas, saya bersyukur.
“Kalau dapat lima emas…Alhamdulillah. Ia pastinya akan menjadi pencapain terhebat kontinjen para negara kerana dalam keadaan pandemik yang sedang melanda ketika ini, mereka boleh melakar kejayaan.
“Namun, tidak semestinya lima atlet yang disebutkan saja mampu menang emas, atlet lain juga berpeluang untuk melakukan kejutan. Peluang adalah terbuka untuk semua,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia yang mengambil bahagian pada Sukan Paralimpik sejak 1972 dan sudah mengumpul 11 pingat iaitu tiga emas, dua perak dan enam gangsa.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai tanggungjawabnya sebagai ketua kontinjen, Megat, berkata beliau menggunakan pendekatan ‘adik beradik’ bagi memastikan tiada jurang antara dirinya dengan semua atlet negara.
“Saya mahu mereka selesa bercakap mengenai apa saja dengan saya. Malah, saya beritahu mereka yang saya boleh dihubungi 24 jam.
“Saya mahu memastikan keharmonian terjaga dalam dalam kalangan semua yang berada dalam kontinjen kali ini. Bukan saya manjakan mereka, tetapi saya mahu mereka tahu yang saya sentiasa ada untuk mereka,” katanya. – BH