Brunei Lanjut Kawalan Pergerakan Hingga 4 September

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 42 Second

BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei melanjutkan kawalan pergerakan bagi memerangi pandemik COVID-19 dua minggu lagi, ketika negara itu melaporkan 122 kes baharu semalam, menjadikan angka keseluruhannya 1,455 kes.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, keputusan itu mengambil kira keadaan semasa penularan virus itu sehingga kawalan pergerakan perlu dilanjutkan hingga 4 September ini.

Beliau berkata, kes baharu itu meliputi 120 jangkitan tempatan dan dua kes import.

“Walaupun punca jangkitan 79 kes tempatan masih dalam siasatan, 37 kes berkenaan adalah berkaitan dengan lima kluster aktif yang sudah dikenal pasti manakala empat kes tempatan yang lain berkaitan dengan satu kluster baharu yang disahkan semalam.

Ia sekali gus menandakan hari ketiga berturut-turut dengan kes baharu harian melebihi 100 kes sejak Khamis lalu, iaitu masing-masing mencatatkan 190 kes dan 197 kes.

Semua kes baharu dalam kluster aktif membabitkan individu sedang dikuarantin dan mempunyai kaitan dengan beberapa kes yang disahkan.

Dalam pada itu, terdapat 1,096 kes aktif dirawat dan dipantau di Pusat Pengasingan Nasional, dengan tiga daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan manakala 22 pesakit lain dalam pemantauan rapi.

Sebelum pengesanan tujuh kes COVID-19 penularan tempatan pada 7 Ogos lalu, Brunei mencatatkan rekod 457 hari tanpa jangkitan komuniti.

Menghadapi gelombang baharu wabak dan situasi pandemik yang semakin sukar, Brunei memperkenalkan kawalan pergerakan dengan menutup pusat keagamaan, sekolah melaksanakan pembelajaran dalam talian, tidak makan di restoran dan menutup kemudahan sukan dalam dan luar bangunan, pusat riadah dan pawagam.

Brunei turut melarang perhimpunan membabitkan ramai orang, selain mewajibkan semua pekerja sektor tidak penting melakukan tugas dari rumah serta melarang rakyatnya meninggalkan rumah tanpa urusan penting.

Kenyataan Kementerian Kesihatan itu juga berkata, walaupun masih terdapat penundaan dalam prosedur pengasingan untuk beberapa pesakit yang disahkan, pihaknya akan berusaha menempatkan semua kes positif di pusat kesihatannya.

“Kes yang disahkan positif dan belum dipindahkan ke kemudahan kesihatan, serta mempunyai kontak rapat mereka yang sedang menjalani kuarantin, tidak dibenarkan meninggalkan tempat pengasingan masing-masing,” katanya.

Brunei juga melaporkan empat kes sembuh semalam, menjadikan 355 pesakit sudah pulih serta empat kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan setakat ini. – AGENSI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *