Strategi Tangani Pandemik COVID-19 Diteruskan & Diperkasakan, Tambahan 6 Juta Dos Vaksin Diterima Awal September Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 5 Second

KUALA LUMPUR : Strategi yang telah dirangka kerajaan terdahulu bagi menangani pandemik COVID-19 akan diteruskan dan diperkasakan serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar Kesihatan Awam negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes COVID-19 dilakukan secara lebih komprehensif.

“Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil.

“Melalui usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terpantas di seluruh dunia. Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500 ribu dos sehari,” katanya dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri hari ini.

Ismail Sabri berkata, bersandarkan data tersebut, maka kerajaan akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.

Katanya, demi mencapai sasaran tersebut lebih awal, kerajaan akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat.

“Untuk itu, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah pun memberikan kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin.

“Keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen daripada semua Keluarga Malaysia. Bagi mereka yang masihbelum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, dengan itu masyarakat akan dapat membantu dan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang masih bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh rakyat dapat segera menjalani kehidupan dalam norma baharu.

“Oleh sebab itu, kita optimis melalui kejayaan program vaksinasi ini kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara.

“Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, gambaran itu bukanlah satu angan-angan kosong kerana negara pernah berjaya menurunkan statistik pesakit COVID-19.

Katanya, fakta terkini pada Jumaat, 20 Ogos lalu membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa, telah menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-turut.

“Ini bukanlah bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada ancaman COVID-19. Tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini tidak lagi menjadi ancaman sepertimana yang ditakuti sekarang.

“Sehubungan itu, demi memangkin pencapaian seperti di Labuan, suka saya umumkan pembelian tambahan sejumlah 6 juta dos vaksin lagi yang akan diterima menjelang awal September 2021, sebagai satu berita baik kepada semua bersempena Bulan Kemerdekaan ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *