Lelaki Parah Ditetak Gara-Gara Mencari Burung Yang Hilang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:54 Second

BACHOK: Putus ibu jari kanan selain luka terbelah di kepala, betis kanan dan lutut kiri akibat ditetak tiga lelaki dengan golok dan pedang.

Itu harga mahal perlu dibayar lelaki berusia 42 tahun ketika mencari burung murai cerek miliknya yang dicuri, dalam kejadian di Kampung Pauh Jabit, Tawang, di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mangsa pergi ke belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus untuk mencari pemuda bernama Farid yang disyaki mencuri burungnya.

“Lokasi tersebut merupakan rumah rakan Farid yang bernama Jiji, namun Farid tiada di situ menyebabkan mangsa bertindak menggari Jiji untuk dijadikan tebusan. Ekoran itu, dia diserang tiga suspek dengan golok dan pedang sehingga cedera.

“Mangsa rebah di lokasi dan dihantar ke Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Mohamad Ismail, susulan kejadian tersebut, polis sedang giat memburu tiga suspek yang dikenali sebagai Jiji, Jimi serta seorang lagi rakan mereka bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *