COVID-19: Satu Kluster Jenis Komuniti, Dua Lokaliti PKPD Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Kg Penangah, Tongod yang merupakan kluster jenis komuniti.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks adalah petani, lelaki, 76, dengan sejarah penyakit darah tinggi dan masalah kulit.

Katanya, kes indeks disahkan positif COVID-19 RTK-Ag (Kit Iflix) di Klinik Kesihatan Penangah pada 17 Ogos 2021, setelah mengalami simptom demam, batuk dan sakit kepala.

Menurut Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri, siasatan awal mendapati kes indeks mempunyai pergerakan ke luar daerah (Sandakan) pada 12 Ogos 2021 untuk mendapatkan rawatan penyakit kulit dan mula bergejala pada 15 Ogos 2021.

“Siasatan seterusnya mengesan 14 kes positif dalam kalangan kontak rapat di sekitar kediaman kes indeks.

“Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini ialah 35 kes termasuk 15 kes baharu hasil saringan terhadap 76 individu.

“Sementara aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan oleh pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung yang berdekatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Masidi turut menyatakan terdapat dua lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) 14 hari berkuat kuasa 24 Ogos 2021 hingga 6 September 2021 iaitu melibatkan Kampung Buanog Matunggong, Kudat dan Kampung Balung Cocos, Tawau.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *