‘Power Rangers’ Turun Padang Beri Semangat Kepada Penerima Vaksin

Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Gelagat seorang lelaki dengan kostum karakter adiwira ‘Power Rangers’ ke Program Jangkauan Luar di Kampung Kobuni Inanam disini menarik perhatian ramai.

Feddy Wong,42, berkata beliau bertindak sedemikian hanya kerana mahu menghiburkan penduduk kampung yang hadir menerima vaksin termasuk petugas barisan hadapan yang bertugas pada program itu.

“Saya tahu tempat ini ada mengadakan program pemberian vaksinasi, jadi saya datang untuk bagi meriah dan semangat untuk semua yang hadir.

“Tujuan utama saya adalah ingin memaklumkan bahawa vaksin COVID-19 ini selamat untuk diterima dan jangan dengar khabar angin kononnya vaksin ini tidak selamat,” katanya kepada media pada program disini hari ini.

Feddy sebelum ini pernah mencuri tumpuan apabila muncul ketika membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September tahun lalu.

Beliau turut mengajak rakyat khususnya di Sabah untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dengan segera sekali gus bebas COVID-19.

“Dengan pengambilan vaksin ini, kita mampu menyelamatkan diri dan keluarga daripada dijangkiti COVID-19.

“Bagi yang sudah menerima vaksin, kita bantu nasihat mereka yang belum lagi mendaftar dan menerima vaksin,” katanya.

Terdahulu, Program Jangkauan Luar Daerah Kota Kinabalu itu turut melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS); Dewan Bandaraya Kota Kinabalu; Universiti Malaysia Sabah (UMS); Jabatan Penerangan Negeri Sabah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

Pada program itu,seramai 1,200 penduduk terlibat menerima vaksin melibatkan pemberian vaksin dos kedua.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.