Paralimpik Tokyo: Semoga Jalur Gemilang berkibar, Negaraku berkumandang Banyak Kali – PM Ismail Sabri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 2 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu melihat lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar sebanyak mungkin pada Sukan Paralimpik Tokyo.

Ismail Sabri berkata beliau percaya dengan semangat tinggi serta latihan dijalankan selama ini, tiada sebab mengapa barisan atlet luar biasa ini tidak boleh berjaya pada temasya sukan berprestiji di Jepun itu.

“Harapan negara kepada anda semua. Di Rio 2016 (Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil), kita berjaya raih tiga emas dan satu gangsa, maknanya tiga kali lagu Negaraku dimainkan di Rio. 

“Kalau boleh saya nak supaya banyak kali bendera Malaysia dikibarkan dan lagu Negaraku berkumandang di Tokyo,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengukuhan Semangat Atlet Paralimpik Malaysia yang diadakan secara maya hari ini.

Perdana menteri berkata barisan atlet paralimpik yang berjuang di Tokyo merupakan kebanggaan negara dan berharap nama Malaysia dapat dijulang di Tokyo.

Ismail Sabri turut berkongsi kisah di sebalik penubuhan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini yang merupakan idea yang dicadangkan sewaktu zamannya menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Katanya keluhan atlet paralimpik mengenai kekurangan fasiliti untuk mereka ketika itu sehingga terpaksa berkongsi kemudahan sukan bersama atlet normal diberi perhatian pihaknya untuk mewujudkan pusat berkenaan.

Beliau yang berpeluang melawat kontinjen negara pada Sukan Paralimpik Beijing 2008 di China mengambil kesempatan untuk melihat sendiri keberkesanan pusat sukan paralimpik di sana untuk mendapat ilham mewujudkan fasiliti serupa di tanah air.

“Saya lawat  pusat di Beijing itu… memang bagus, jadi kita cadang buka terus di negara kita,” katanya.

Pusat bernilai RM50 juta itu yang beroperasi sejak 2013 dibina pada 2011 di kawasan seluas kira-kira 1.84 hektar untuk membolehkan atlet paralimpik berlatih serta membuat persediaan rapi bagi menghadapi temasya sukan tempatan dan antarabangsa.

Ismail Sabri juga berharap agar semua atlet menjaga kesihatan diri, kekal berdisiplin serta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Jepun bagi mengelakkan dijangkiti COVID-19.

Bagi edisi kali ini, seramai 22 atlet akan membawa cabaran negara dalam sembilan jenis sukan yang disertai kontinjen Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menerima ucapan tahniah daripada kem paralimpik negara diketuai Ketua Kontinjen ke Sukan Paralimpik Tokyo Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin serta barisan atlet dan jurulatih atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri kesembilan negara.

Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *