PICK : Program Mobilisasi Vaksinasi Mudahkan Penduduk Luar Bandar Terima Vaksin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

LAHAD DATU : Pelaksanaan Program Mobilisasi Vaksinasi COVID-19 (MOVAK) yang dilaksanakan di negeri ini amat memudahkan penduduk dari kawasan terpencil dan jauh untuk hadir mendapat suntikan vaksin COVID-19.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama Mizma Appehdullah berkata, faktor logistik turut menghadkan pergerakan penduduk untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.

“Saya amat mengakui program vaksinasi terutama kepada masyarakat di kawasan terpencil luar bandar seperti di kawasan Segama ini amat sukar dilaksanakan.

“Namun, berkat kerjasama dan semua pihak membantu kelompok ini agar tidak tercicir daripada menerima vaksin, kita dapat melaksanakan tanggungjawab ini sehabis baik.

“Semua ini adalah bukti komitmen kita di pihak UPPM, juga pentadbiran negeri dan kerajaan Pusat bahawa tidak ada yang akan terlepas pandang dalam program vaksinasi ini dan kita juga akan terus fokus memastikan program ini mencapai sasaran yang kita tetapkan,” katanya selepas menghadiri Program MOVAK di Sekolah Kebangsaan (SK) Tawaiyari baru-baru ini.

Mizma turut meminta orang ramai yang belum divaksin agar memanfaatkan sepenuhnya peluang seumpama itu sebagai satu usaha pencegahan mengurangkan risiko jangkitan dan penularan COVID-19.

“Ini adalah tanggungjawab kita semua untuk melindungi diri dan masyarakat sekeliling daripada bahaya Covid-19.

“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan program ini berjalan lancar dan mematuhi SOP yang ditetapkan. Kita akan meneruskan program ini di setiap lokaliti agar semua rakyat mendapat manfaat,” katanya.

Sehingga kini, katanya kawasan DUN Segama merekodkan seramai 77,671 orang atau 42.5 peratus daripada penduduk kawasan itu sudah menerima suntikan dos pertama, manakala 50,345 (27.5 peratus) selesai melengkapkan dua dos suntikan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *