Mohamad & Yamani Muka Baharu Dari Sabah Barisi Kabinet Ismail Sabri

Read Time:1 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU : Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin dan Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa antara muka baharu dari Sabah yang membarisi senarai Kabinet kerajaan Pusat yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi.

Mohamad yang mewakili UMNO Sabah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Dua manakala Yamani mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan Dua.

Jawatan Mohamad sebelum ini diisi oleh Ahli Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahaya manakala Yamani menggantikan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang sebelum ini menyandang portfolio sama.

Turut dikekalkan dalam Kabinet baharu itu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu dikekalkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Begitu juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Naib Presiden BERSATU kekal memegang portfolio Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin turut dikekalkan dan sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Seorang lagi nama yang dikekalkan ialah Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Namun Arthur berpindah portfolio daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) kepada Timbalan Menteri Kerja Raya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *