UMNO Sabah Sifatkan Pelantikan Mohamad Sebagai Pengiktirafan Diperingkat Persekutuan

Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri Pendidikan 2 sebagai satu pengiktirafan kepada parti itu di peringkat persekutuan.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau turut bersyukur dengan pelantikan itu dan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberi.

“UMNO Sabah cukup berbangga dan bersyukur atas pelantikan ini dan secara langsung mengiktiraf UMNO Sabah di peringkat persekutuan. Terima kasih YAB Perdana Menteri.

“Buat Datuk Mohamad Hj Alamin, tahniah dan selamat berkhidmat untuk negara,” katanya dalam kenyataan ringkas disini hari ini.

Mohamad adalah antara enam pemimpin Sabah yang dilantik dalam Kabinet baharu kerajaan Pusat pimpinan Ismail Sabri.

Dalam pada itu, Mohamad merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan bagi dirinya memegang portfolio Timbalan Menteri Pendidikan 2.

“Insyallah dengan kudrat yang ada saya akan lakukan yang terbaik demi negara.

“Terima kasih juga kepada YB Dato’ Sri Bung Moktar Radin dan rakan-rakan  pimpinan UMNO dan BN Sabah serta seluruh rakyat di Parlimen Kimanis di atas dorongan dan doa.

“Doakan saya diberi kekuatan dan hidayah dalam melaksanakan tugas ini. Alhamdulillah,” katanya.

Selain Mohamad, Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan 2; Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili kekal memegang jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Turut dilantik semula Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yassin yang kekal sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri 2 dan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang turut kekal menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.