Pandemik COVID-19 Bukan Penghalang Semarak Hari Kebangsaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU : Pandemik COVID-19 bukan penghalang bagi para penjaja Pasar Inanam Point menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan menghias gerai menggunakan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

Pengerusi Pasar Inanam Point, Ajimin Awang, 56, berkata, aktiviti berkenaan adalah amalan yang diterapkan sejak lapan tahun lalu.

“Terdapat beberapa orang pemilik gerai yang mengalami kekangan menghias gerai mereka kerana kawasan perumahan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Namun ia tidak menjadi penghalang kerana mereka tetap berbesar hati menyumbang perbelanjaan membeli Jalur Gemilang dan bendera Sabah agar sepuluh ahli jawatankuasa Tamu Inanam Point dapat menghias gerai mereka. 

“Hal ini juga secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara penjaja, pelanggan dan masyarakat di sekitar kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata kepada media dalam Program Info On Wheels (IOW) Kempen Nasional Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kota Kinabalu di sini, kelmarin.

Bagi seorang penjaja yang popular dengan jualan ‘Kuih Bulan’, Mariani Mussidi, 37 pula berpendapat pelbagai cara boleh dilakukan untuk menzahirkan rasa cinta akan negara.

“Walaupun keadaan pada masa ini tidak mengizinkan kita untuk melakukan banyak aktiviti kemerdekaan, tetapi kita masih boleh meraikannya dengan cara lain seperti memakai baju bermotifkan corak Jalur Gemilang atau berkongsi gambar berlatarbelakangkan kemerdekaan di laman media sosial,” katanya.

Tambah ibu kepada empat cahaya mata itu juga, pasar itu mempunyai satu tempat istimewa di hati kerana menjadi sumber pertama rezeki sehingga berjaya membuka perniagaan lain. 

“Selain pendapatan yang menguntungkan, saya juga rasa sayang untuk meninggalkan tempat ini kerana hubungan yang erat dan kerjasama yang baik sesama peniaga termasuklah dalam menjayakan sambutan bulan kebangsaan setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pasar Inanam Point, Rozinah Joniaas, 36, berkata, walaupun kita tidak terlibat dalam usaha memerdekakan negara dari penjajah, kita harus meneruskan perjuangan nenek moyang kita dengan cara mempertahankan kemerdekaan yang kita miliki.

“Dalam keadaan sekarang, antara perkara yang boleh kita lakukan untuk menunjukkan semangat kemerdekaan adalah meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang sekeliling dalam memerangi COVID-19.

“Ia dapat dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mendapatkan suntikan vaksin agar kita kembali ‘Merdeka’ untuk melakukan aktiviti harian seperti dahulu.

“Jadikan semangat perjuangan nenek moyang kita dalam memerangi penjajah sebagai iktibar dan inspirasi untuk generasi kita memerangi musuh yang tidak dapat dilihat ini,” katanya.

Tambahnya, Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia sekali gus mencetuskan solidariti dalam mendepani cabaran yang mendatang termasuklah pandemik COVID-19.

Rozinah turut menyeru agar orang ramai menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan bendera atau pakaian bermotifkan kemerdekaan untuk sama-sama memeriahkan bulan kebangsaan./PENERANGAN.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *