Makmal COVID-19 UMS Sedia Bantu JKNS Kurangkan Sampel Tertunggak Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 41 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]

KOTA KINABALU : Makmal COVID-19 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Hospital Universiti Malaysia Sabah (FPSK-HUMS) sedia bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi membantu mengurangkan kes tertunggak yang berlaku di Sabah ketika ini.

Ketua Makmal COVID-19 FPSK-HUMS Dr Sylvia Daim berkata, ia termasuklah membantu mempercepatkan lagi proses ujian calitan selain mengalu-alukan penghantaran sampel daripada JKNS khususnya dalam tempoh peningkatan kes yang berlaku di negeri ini.

“Kita turut mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak dalm bentuk Grant-In-Aid atau ‘reagen’ PCR untuk dapat membantu JKNS dan kerajaan negeri memerangi pandemik COVID-19.

“Sebelum ini Makmal COVID-19 FPSK-HUMS telah turut membantu JKNS melaksanakan ujian PCR COVID-19 sejak 1 Julai 2020.  Sehingga 25 Ogos lalu, kita telah menjalankan sebanyak 13,109 ujian PCR COVID-19 untuk JKNS,” katanya kepada Sabah Media disini baru-baru ini.

Ketua Makmal COVID-19 FPSK-HUMS Dr Sylvia Daim menunjukkan lengkungan sampel yang positif COVID-19 – FOTO MAHA

Katanya, bilangan itu adalah bersamaan dengan 59 peratus daripada jumlah keseluruhan ujian iaitu 22,200 yang telah dilaksanakan oleh Makmal COVID-19 FPSK-HUMS ketika ini.

Sabah telah merekodkan angka kes harian yang tinggi melebihi 3,000 kes sejak beberapa hari lalu dengan hampir separuh daripadanya disebabkan kes tertunggak atau daftar lewat dimana ada antaranya melebihi lima hari dalam senarai kes harian di negeri ini.

Dr Sylvia berkata, makmal yang beroperasi sejak Jun tahun lalu itu telah melaksanakan antara 50 ujian hingga 100 ujian PCR sehari namun akan ditingkatkan ke 300 ujian sehari jika ada keperluan kecemasan.

Katanya, Makmal COVID-19 FPSK-HUMS telah menguji sejumlah 3,596 sampel ketika saringan bersasar dan besar-besaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di UMS pada 5 April hingga 2 Mei lalu.

“Secara purata, ujian sampel yang dijalankan di makmal ini masih berada di bawah kapasiti makmal.  Ketika ini seramai enam orang Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) yang terlatih melaksanakan ujian sampel calitan di makmal ini.

“Kebanyakan sampel calitan yang diuji untuk mengetahui sama ada positif virus COVID-19 atau tidak datang daripada fasiliti kesihatan Hospital UMS (HUMS) iaitu Pusat Rawatan Warga UMS (PRW),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sylvia berkata, sampel dari luar fasiliti kesihatan UMS turut diterima, khususnya daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNS, namun ia bergantung kepada keadaan dan sumber tersedia seperti wang dana dan ‘reagen’.

“Antara fasiliti KKM yang bekerjasama dengan kita ialah Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Klinik Kesihatan Tawau, Klinik Kesihatan Manggatal dan Klinik Kesihatan Tanjung Aru.

“Kerjasama terbaru Makmal COVID-19 FPSK-HUMS dengan pihak KKM adalah menguji sejumlah 1,467 sampel yang diterima dari Hospital Tuaran,Pejabat Kesihatan Tuaran, Klinik Kesihatan Telipok Ria dan Klinik Kesihatan Tamparuli untuk tempoh dua minggu pada Julai lalu,” katanya.

Sementara itu,  Dr Sylvia berkata keputusan ujian sampel calitan di makmal berkenaan boleh dikeluarkan dalam tempoh maksimum 48 jam bermula daripada masa penerimaan sampel dengan tempoh paling singkat adalah empat jam bagi sampel yang perlu diuji dengan segera.

“Semenjak mula beroperasi pada 29 Jun 2020, sampel tertunggak atau ‘backlog’ jarang berlaku di Makmal COVID-19 FPSK-HUMS kerana bilangan sampel yang diterima setakat ini masih berada dalam lingkungan kapasiti maksimum ujian harian makmal,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *