Lajim Seorang Pemimpin Yang Baik, Sentiasa Fikirkan Rakyat- Isnin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

BEAUFORT: Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin disifatkan sebagai seorang pemimpin yang sentiasa memikirkan tentang rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias.

Perkara itu diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias Datuk Isnin Aliasnih yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka tabah.

“Allahyarham saya anggap sebagai seorang guru dalam karier politik saya, beliau pernah berpesan untuk teruskan perjuangan dan terus jaga rakyat.  Pemergian beliau juga amat dirasai terutama rakyat Klias yang pernah diwakilinya lebih 30 tahun.

“Hari ini, beliau meninggalkan kami dan kami berasa sangat sedih dan berdukacita kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang baik, yang sentiasa memikirkan pasal rakyat,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Isnin yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, sehingga akhir hayat Allahyarham terus berjuang untuk rakyat bagi memastikan semuanya untuk keselesaan kawasan dan juga rakyat.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan Allahyarham dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam urusan pengkebumian Allahyarham,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital KPJ, Kota Kinabalu, Sabah jam 6.23 pagi tadi dan jenazahnya disemadikan di kampung halamannya di Kampung Kebatu, Beaufort.

Sepanjang hayatnya, Lajim pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Parlimen Beaufort dan Dewan Undangan Negeri Klias, selain pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kerajaan Persekutuan antaranya Timbalan Menteri Pengangkutan serta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *