Tun Sakaran Tokoh Amat Disegani – Bung Moktar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Allahyarham Tun Sakaran Dandai disifatkan sebagai satu kehilangan tokoh yang amat disegani di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Allahyarham telah memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara khususnya di Sabah yang merangkumi pelbagai aspek sosio-ekonomi, politik,kebajikan dan agama.

“Allahyarham Tun telah melalui perjalanan yang panjang dalam kerjayanya,samaada  dalam perkhidmatan awam, politik dan dakwah di negeri ini.

“Pemergian beliau sudah tentu  dirasai oleh rakyat di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Bung berkata, dalam bidang politik Allahyarham Tun merupakan seorang tokoh yang berprinsip dan setia kepada perjuangan  parti

“Saya pernah bekerja  dibawah kepimpinan Allahyarham ketika menjadi Ketua Menteri, pendekatan sederhana dan mesra rakyat yang menjadi amalan beliau membuatkan Allahyarham bukan sahaja disegani tapi  disayangi oleh rakyat,” katanya.

Dalam bidang agama pula Bung berkata,  Allahyarham Tun Sakaran adalah ikon yang boleh dijadikan contoh dalam aktiviti dakwah terutamanya usaha untuk  mengembangkan syiar islam di Sabah melalui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang beberapa penggal beliau pernah terajui sebagai Yang Dipertua.

“Saya bersama kepimpinan UMNO Sabah  merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun, terutama kepada isteri beliau, Toh Puan Siti Rukaiyah Datuk Panglima Abdullah atas pemergian suami beliau.

“Jasa Tun kepada Sabah amat besar. Moga roh dicucuri rahmat,” katanya.

Sakaran Dandai,91,disahkan meninggal dunia 5.30 pagi tadi di Hospital Gleneagles  selepas dijangkiti COVID-19. Jenazah telah diuruskan di Masjid Negeri dan  dimakamkan di Makam Pahlawan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *