COVID-19: Hadir Majlis Pengebumian & Tempat Kerja Cetus Dua Kluster Baharu Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini iaitu Kluster Nasakot, Ranau dan Kluster Sawit Jeroco, Lahad Datu masing-masing melibatkan kluster komuniti dan tempat kerja.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Nasakot, Ranau adalah kluster jenis komuniti yang berlaku di Kg Nasakot, Ranau iaitu menghadiri satu majlis pengebumian.

Katanya, kes indeks adalah wanita, 40, yang membawa anak yang juga pesakit Talasemia dan dikesan positif (RTK-Ag) semasa saringan pra-kemasukan wad pada 20 Ogos 2021.

“Siasatan awal mendapati, kes indeks membawa anaknya untuk transfusi di Hospital Ranau pada 03 Ogos 2021 dan saringan kemasukan wad adalah negatif.

“Oleh itu, mereka telah dibenarkan keluar pada 05 Ogos 2021 dan hanya berada di rumah sejak 06 Ogos 2021. Namun, pada 12 Ogos 2021 kes indeks mula menunjukkan gejala demam, selesema, hilang deria rasa dan bau,” jelas Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri.

Menurut Masidi, kes indeks tidak mengendah dengan simptom, pada 14 Ogos 2021 malah telah menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga yang berlanjutan selama tujuh hari bersama-sama hampir keseluruhan penduduk Kg Nasakot.

Berikutan dengan kes tersebut, saringan kontak rapat telah dijalankan pada 21 hingga 23 Ogos 2021 dan berjaya mengesan empat kontak rapat yang menjadi sub-indeks untuk kes-kes seterusnya.

Perkumpulan beramai-ramai semasa majlis pengebumian ini mencetus penularan wabak dalam komuniti Kg Nasakot dan Kg Tanid di Mukim Malinsau. Daripada 95 kontak yang disaring, 31 individu dikesan positif dalam kluster ini termasuk dua kes baharu hari ini.

Sementara Kluster Sawit Jeroco, Lahad Datu pula dikesan berlaku di Mukim Segama dalam kategori tempat kerja.

Masidi turut memaklumkan bahawa, kes indeks adalah pekerja kilang, lelaki, 27, yang disahkan positif COVID-19 di klinik swasta pada 26 Ogos 2021 selepas bergejala sejak 25 Ogos 2021.

Pihak pengurusan kilang dan klinik panel telah melakukan saringan kontak dan saringan bersasar mulai 26 hingga 28 Ogos 2021.

Namun daripada 215 kontak yang disaring, 57 individu didapati positif termasuk 25 kes baharu hari ini, manakala 194 individu negatif saringan pertama.

“Semua kes positif COVID-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke CAC Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan.

“Sementara kontak-kontak rapat pula telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di ladang tersebut. Kebanyakan kes adalah dalam kalangan bukan warganegara yang masih belum menerima vaksin. Punca jangkitan masih dalam siasatan,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *