BEAUFORT: Prihatin dengan nasib penduduk yang terjejas ketika pandemik Covid-19, Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah Sabah tampil menyampaikan bakul makanan dan pelbagai keperluan lain menerusi Program Outreach Komuniti di bahagian pedalaman bawah Sabah.
Pengerusinya, Mazlan @ Joehari Manan berkata, program yang diusahakan itu dilaksanakan di empat daerah di kawasan pedalaman bawah iaitu Beaufort, Sipitang, Membakut dan Kuala Penyu.
Katanya, program itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gabungan persatuan belia bersama agensi kerajaan serta meningkatkan nilai aktiviti kesukarelawan di kalangan belia bersama komuniti.
“Hari ini, kami menyampaikan sebanyak 100 bakul makanan, 400 kit saya sudah divaksin, 500 bendera tangan, 500 sanitizer, masing-masing sebanyak 100 kotak pelitup separuh muka, apron dan pelindung muka selain 1,500 biji roti bun dari Kim Teck Cheong Berhad.
“Penyerahan bakul makanan diberikan kepada golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya (OKU) serta keluarga yang terjejas pendapatan akibat Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Batandok Lubak, hari ini.
Sementara itu, seorang warga emas, Daineh Ojeh, 69, berterima kasih dengan sumbangan bakul makanan yang disampaikan Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah Sabah.
“Bantuan yang diberikan itu amat membantu penduduk yang terjejas berikutan kesukaran untuk keluar mendapatkan barang makanan kerana akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
“Saya bersyukur kerana keluarga kami antara yang menerima sumbangan ini,” katanya yang turut menjaga isterinya yang menghidap strok sejak tujuh tahun lalu.
Hadir sama, Timbalan Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS), Siti Norhaini Osli dan Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Beaufort, Tseu Nyuk Yin.