TENOM : Kadar pemberian vaksin COVID-19 kepada penduduk di daerah ini yang kini berjaya mencapai 70 peratus bakal mencapai sasaran 80 peratus menjelang Oktober depan.
Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Mas Syazwan Masood berkata, dalam usaha mencapai sasaran tersebut, pihaknya menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah akan terus memperkasa program vaksinasi dengan strategi ‘mopping up’.
“Sehingga kini, kita telah berjaya mencapai 70 peratus penduduk yang divaksinasi dan bakinya iaitu 10 peratus lagi dijangka akan diselesaikan menjelang Oktober depan.
“Tenom antara daerah yang terawal membuat program jangkauan luar ke kampung-kampung sejak Mei lalu dan purata penerima vaksin mencecah 1,600 sehari,” katanya ketika ditemui pada Program Jangkauan Luar Vaksinasi CITF di Kampung Pangi disini semalam.
Mas Syazwan berkata, hampir keseluruhan penduduk di kawasan pekan kini telah diberikan vaksinasi menyebabkan beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dilihat lengang dan kurang pengunjung.
Katanya, strategi ‘mopping up’ ini lebih kepada usaha mencari saki baki penduduk yang belum divaksin di kawasan-kawasan yang terpencil.
Tambahnya, selain lima PPV yang beroperasi, pihaknya juga memperhebat program-program outreach Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) pada setiap hari.
“Lima PPV yang beroperasi di Tenom dan Kemabong iaitu Dewan Antanom, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA), Klinik Kesihatan Kemabong, Klinik Kesihatan Kuala Tomani dan Hospital Daerah.
“Di samping itu, kita juga mendapat kerjasama daripada dua buah klinik swasta yang menyediakan vaksinasi kepada penduduk.
“Ini tidak termasuk program-program outreach CITF di kampung-kampung dengan purata dua lokasi setiap hari yang kita namakan sebagai mopping up,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Francesca Primus Chew berkata, seramai 15 penduduk di kampung itu diberikan dos pertama vaksin jenis Sinovac termasuk dua warga emas yang terlantar.
“Dalam mopping up jumlah vaksinasi memang sedikit kerana kita berusaha mengesan masyarakat yang belum menerima vaksin di kawasan yang jauh di pedalaman.
“Pada kali ini, Kementerian Kesihatan Malaysia menggerakkan 18 petugas termasuk sukarelawan MyVac seawal jam 7.30 pagi bersama-sama anggota Rela dan APM menaiki keretapi dari Pekan Tenom.
“Dalam program ini, para petugas menyusuri denai, melalui tiga jambatan gantung yang menyeberangi sungai deras untuk ke rumah salah seorang penerima vaksin,” katanya.
Warga emas, Niuh Managang, 93, dan Monan Binguengun, 80, merupakan antara penerima vaksin dos pertama yang diberi terus ke rumah masing-masing.
Hadir sama pada program berkenaan ialah Timbalan Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Siti Norhaimi Osli yang menyumbang peralatan sanitasi Covid-19 serta makanan ringan kepada petugas KKM./PENERANGAN-