KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya telah diarah untuk mengambil tindakan segera bagi membaiki jalan yang terjejas dan kejadian tanah runtuh di beberapa buah daerah di negeri ini ekoran hujan lebat berterusan sejak kelmarin.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kebanyakan jalan berturap yang runtuh dalam kejadian kelmarin adalah dibawah kendalian pihak konsesi yang telah dilantik oleh kerajaan.
“Kita telah meminta pihak konsesi yang terlibat untuk memantau dan memperbaiki segera jalan raya yang rosak selain membuat jalan alternative agar pengguna tidak terkesan dengan kejadian ini.
“Bagi jalanraya Kota Kinabalu ke Keningau CH 103 dan CH 107 ianya merupakan jalan persekutuan dibawah konsesi Lintasan Resources Sdn Bhd yang kini sedang diperbaiki dan jalan altternatif juga turut disediakan kepada pengguna di laluan tersebut,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pihaknya turut menerima aduan berhubung kerosakan jalan raya di beberapa buah daerah yang mengalami kerosakan dan berlubang.
Katanya, terdapat juga aduan mengenai jalan raya yang dinaiki banjir khususnya yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya Pan Borneo dan pihak kontraktor turut diarah bagi memantau keadaan bagi melaksanakan penyelenggaraan.
“Bagi cerun dan jalan yang runtuh dibawah kendalian JKR tidak melibatkan kos yang tinggi untuk pembaikan, kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Bung berkata, ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini beliau telah meminta semua jurutera JKR di setiap daerah memantau situasi jalan yang berisiko runtuh agar tahap keselamatan pengguna terkawal.
“Kementerian sentiasa mengambil berat kepada isu-isu seperti ini dan akan mengambil tindakan susulan kepada setiap laporan yang dikemukakan,” katanya.