HomeUtamaPICK: UMS Gembleng Usaha Bantu Sabah Capai Imuniti Kelompok Menjelang Disember

PICK: UMS Gembleng Usaha Bantu Sabah Capai Imuniti Kelompok Menjelang Disember

Read Time:2 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) giat menggembleng usaha bagi membantu kerajaan Sabah mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk negeri ini divaksin menjelang akhir tahun ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS telah mengoptimumkan segala kemudahan, sumber tenaga dan kepakaran bagi membantu kerajaan negeri menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Selaras dengan pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang memberi tanggungjawab kepada UMS sebagai Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV-IPT), lebih 170 petugas membabitkan petugas klinikal, sukarelawan kakitangan dan pelajar, bahagian keselamatan dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) telah ditempatkan bagi membantu kelancaran proses pemberian vaksin.

“Sejak PPV-IPT UMS dibuka pada 14 Jun lalu, petugas UMS telah memberikan sejumlah 90,738 dos vaksin, yang meliputi 52,175 penerima dos pertama, dan 38,563 penerima dos kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ketika mengulas laporan Sabah telah mencapai sasaran 40 peratus kadar vaksinasi melibatkan populasi dewasa pada Selasa lalu.

Menurut Taufiq, selain meningkatkan keupayaan pemberian dos vaksin dari 1,000 ke 4,000 dos sehari, PPV-IPT UMS juga telah mengadakan program vaksinasi secara tanpa janji temu atau ‘walk-in’ kepada individu yang masih belum menerima tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

“Kita telah laksanakan program vaksinasi secara walk-in sebanyak tiga kali, iaitu pada 3 hingga 6 Ogos lalu, kali kedua pada 9 hingga 13 Ogos, dan terbaru pada 30 hingga 3 September.

“Kita hanya mahu memastikan lebih ramai penduduk khususnya sekitar Kota Kinabalu menerima suntikan vaksin, sekali gus meningkatkan lagi peratusan populasi penduduk di negeri ini telah divaksinasi.

Taufiq turut memaklumkan UMS tidak hanya menjayakan program vaksinasi melalui PPV, tetapi turut menggerakkan kakitangannya untuk melaksanakan aktiviti pemberian vaksin kepada penduduk luar bandar melalui program outreach.

 “Sejak Julai lalu, UMS telah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk melaksanakan program outreach pemberian vaksin kepada penduduk luar bandar yang mengalami kesukaran untuk hadir ke PPV.

“Antara penduduk yang telah menerima manfaat ini ialah penduduk di Kampung Kionsom, Kampung Pinahawon dan Kampung Talungan, dan terdapat perancangan untuk menggerakkan lagi program ini di beberapa kawasan terpilih,” katanya.

Menyedari risiko tinggi yang terdedah kepada penduduk di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang masih belum menerima vaksin, kakitangan Hospital UMS (HUMS) telah berkolaborasi dengan pelbagai pihak bagi menggiatkan pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Kolaborasi dengan JKNS, DBKK,  Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Cawangan Sabah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kawasan telah menggerakkan program vaksinasi di beberapa kawasan terpilih sekitar Kota Kinabalu, antaranya Taman Telipok Jaya, Universiti Apartment dan Tanjung Aru, dengan beberapa kawasan akan menyusul sekitar bulan ini.

“Dianggarkan sejumlah 2,076 penduduk diberikan suntikan dos vaksin melalui program ini,” kata Taufiq.

Ujar beliau, usaha ini adalah sumbangan UMS bukan sahaja bagi membantu kerajaan negeri mencapai sasaran kadar pemvaksinan, tetapi juga adalah tanggungjawab sosial universiti ke arah matlamat keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri Sabah.

“Pandemik COVID-19 banyak memberi cabaran bukan sahaja kepada sektor ekonomi tetapi juga kepada sistem pendidikan, justeru kita amat berharap sasaran untuk mencapai imuniti kelompok dapat dipercepatkan agar setiap aktiviti sosial dan ekonomi mampu dibuka dan kembali seperti normal,” ujar Taufiq.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya