Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 Diturunkan Lagi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:53 Second

KUALA LUMPUR: Harga kit ujian kendiri COVID-19 dijangka akan turun selepas kerajaan menyemak harga barangan berkenaan menjelang akhir tahun ini.

Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata semakan semula berterusan harga kit ujian kendiri COVID-19 adalah bagi membolehkan ia berpatutan untuk rakyat.

“Buat masa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga kit ujian ini di bawah RM20,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara dengan tema ‘Winning the War against COVID – The Road to Recovery’ hari ini.

Sebelum ini kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16.

Penetapan harga maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 itu berdasarkan jangkaan berlakunya peningkatan permintaan susulan kesedaran orang ramai dalam membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID-19.

Terdahulu, KPDNHEP menerima banyak rungutan serta desakan yang menyifatkan harga bagi satu set kit ujian kendiri RM35 hingga RM39.90 adalah terlalu mahal.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *