HomeUtamaUsahawan IKS Di Sabah Disaran Guna Sepenuhnya GLOPEC Bantu Tingkat Pendapatan

Usahawan IKS Di Sabah Disaran Guna Sepenuhnya GLOPEC Bantu Tingkat Pendapatan

Read Time:2 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu lebih ramai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di Sabah menggunakan sepenuhnya inisiatif Program Global Entrepreneur One Stop Centre atau GLOPEC bagi memaksimumkan kaedah pemasaran produk sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan sedar ramai usahawan IKS di Sabah yang terjejas pendapatan mereka akibat penularan pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lalu.

Katanya, pengwujudan GLOPEC bakal memberikan penekanan kepada aktiviti rantaian secara menyeluruh iaitu peningkatan pengeluaran, pengumpulan hasil, pemprosesan dan pemasaran produk yang lebih sistematik untuk membantu membuka peluang kepada usahawan IKS Sabah ke pasaran Antarabangsa.

“Saya difahamkan bahawa GLOPEC akan berfungsi sebagai pusat penghubung yang akan berurusan dengan agensi-agensi terbabit dalam perniagaan serta pihak berwajib di pasaran yang dikenal pasti serta semua rangkaian pembekal dan pembeli barangan keluaran IKS Sabah yang terlibat dalam program ini.

“Saya juga berharap lebih ramai usahawan IKS di Sabah akan terbabit dalam GLOPEC ini. Saya amat tertarik dengan asas kerjasama ini kerana ia seiring dengan apa yang telah digariskan semasa menggubal hala tuju sektor pertanian, iaitu antara sektor utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Semoga Memorandum Perjanjian (MoA) yang akan ditandatangani antara Kumpulan Yayasan Sabah dan TERAJU atau Unit Peneraju Agenda Bumiputera ini bakal membuka jalan kepada produk keluaran Sabah yang dihasilkan usahawan IKS B40 dan M40 untuk dipasarkan ke peringkat global,” katanya ketika melancarkan Program GLOPEC di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu disini hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah turut berbangga dengan Kumpulan Yayasan Sabah yang sentiasa komited dan kreatif dalam membangunkan inovasi perniagaan baharu dalam membantu usahawan IKS meneruskan perniagaan mereka.

“Semoga ini menjadi contoh dan pendorong kepada agensi lain untuk memulakan inisiatif memajukan ekonomi negeri Sabah. Kumpulan Yayasan Sabah yang juga peneraju industri kraf di negeri Sabah, diharap terus gigih memastikan penglibatan 100 peratus golongan usahawan tempatan dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan berdaya saing di pasaran.

“Usaha mengkomersialkan produk-produk kraf ini perlu terus diperkasakan agar produk kraf terus mendapat perhatian pengguna, pembeli serta pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya sambil yakin inisiatif ini bukan hanya memberikan manfaat kepada usahawan IKS dalam program kraf sahaja tetapi juga kepada semua peringkat perniagaan di Sabah.

Sementara itu, Hajiji berkata selain melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kerajaan negeri menerusi Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0 telah memperuntukkan sejumlah RM2.8 juta kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian sebagai bantuan one-off RM300 kepada 9,600 penerima kategori usahawan mikro dan kotej yang turut terjejas akibat pandemik ini.

“Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri telah menyalurkan kira-kira RM353 juta melalui BSP 1.0, 2.0 dan 3.0 untuk membantu penduduk yang terjejas di negeri ini akibat penularan pandemik COVID-19. Ini tidak termasuk bantuan bakul makanan untuk BSP 1.0 hingga 3.0 berjumlah RM115 juta,” katanya.

Yang turut hadir ialah Pengarah Yayasan Sabah yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Gulam Khan Bahadar.

Pelancaran GLOPEC yang disiarkan secara maya itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad dan Ketua PegawaiEksekutif TERAJU Malaysia, Md Silmi Abd Rahman.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya