KM: Ubah SOP MERS 999

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mahu prosedur operasi standard (SOP) dalam Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 diubah, agar kejadian yang menimpa empat sekeluarga di Penampang, pada awal pagi Selasa lalu, tidak berulang.

Katanya, kejadian itu amat menyedihkan kerana isu keselamatan seperti kebakaran tidak seharusnya dirujuk ke Kuala Lumpur terlebih dahulu hingga mengambil masa untuk menyelamatkan mangsa.

“Sepatutnya, apabila tahu panggilan adalah dari Sabah dan ada kecemasan, kenapa tidak terus sambung ke pihak yang berkaitan seperti balai bomba di daerah atau negeri terbabit atau berikan nombor telefon yang boleh dihubungi.

“Tidak perlulah tanya banyak soalan kerana setiap panggilan ke MERS 999 sudah pasti membabitkan hal kecemasan. Kita kena peka dengan situasi dan
dalam keadaan kecemasan, sudah pasti panik berlaku dan tiada masa untuk memberi semua maklumat yang diperlukan.

“Saya berharap SOP dalam MERS 999 diubah dan dipermudahkan termasuk terus sambung panggilan itu ke nombor atau daerah dan negeri yang terbabit,” katanya menerusi satu kenyataannya di sini pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai kejadian pada awal pagi Selasa lalu, membabitkan empat sekeluarga yang rentung dalam kebakaran rumah mereka di Taman Hungab, di Penampang.

Kebakaran mengorbankan empat sekeluarga berusia 15 hingga 50 tahun itu membabitkan dua beradik lelaki serta ibu bapa mereka.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada pasangan suami isteri, Matthew Wong, 50, dan Jecky Vun Kon Fong, 47, serta dua anak mereka, Brandon, 18 dan Eric, 15 tahun.

Dalam masa sama Ketua Menteri turut meminta orang awam agar turut menyimpan nombor penting seperti balai polis, bomba dan hospital di kawasan masing-masing, untuk memudahkan mereka meminta bantuan jika ada kecemasan.

“Selain MERS 999, simpanlah juga nombor balai polis, bomba dan hospital di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata kerajaan negeri berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, Sabah juga menyatakan tidak atas cadangan kerajaan memperkenalkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, sebagai salah satu daripada empat undang-undang syariah baharu yang akan diperkenalkan.

“Seperti di negeri ini, Sabah adalah negeri yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama serta hidup dalam keadaan harmoni dan aman sejak sekian lama.

“Walaupun mempunyai pelbagai kaum dan anutan kepercayaan masing-masing, kita saling menghormati antara satu sama lain dan tiada masalah,” katanya sambil menambah kepelbagaian kaum dan agama menjadi tonggak perpaduan rakyat di negeri ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *