Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Penyebaran maklumat tidak tepat, berita palsu, ucapan kebencian di media sosial serta provokasi berasaskan agama dan kaum merupakan antara cabaran utama yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, cabaran tersebut semakin kompleks dalam dunia yang semakin terhubung melalui teknologi digital dan memerlukan pendekatan bijaksana bagi memastikan perpaduan negara terus dipelihara.
Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat unik selain tidak banyak negara di dunia mempunyai kepelbagaian seperti yang negara miliki hari ini.
“Kita terdiri daripada lebih
200 kumpulan etnik dan subetnik yang merangkumi Melayu, Cina, India, Orang Asli serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak seperti Kadazan Dusun, Bajau, Murut, Iban, Bidayuh, Melanau dan banyak lagi.

“Dari sudut keagamaan pula, Malaysia menjadi rumah kepada penganut Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme dan pelbagai kepercayaan lain yang hidup secara aman sejak sekian lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dialog Harmoni peringkat Kebangsaan 2026 di sini pada Selasa.
Aaron berkata, ini merupakan wajah sebenar Malaysia dimana kepelbagaian bukan kelemahan kerana ia adalah kekuatan yang menjadi asas kepada kestabilan dan kemajuan negara.
Namun demikian katanya, kepelbagaian juga menuntut kebijaksanaan dalam pengurusan dan jika tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi punca salah faham dan perpecahan.
“Dalam dunia yang semakin terhubung melalui teknologi digital, cabaran terhadap keharmonian agama juga semakin kompleks.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah fenomena polarisasi sosial yang semakin ketara. Hari ini, ramai yang hanya bergaul dalam kelompok yang mempunyai latar belakang yang sama.
“Kita tinggal di kawasan berbeza, bersekolah dalam lingkungan tertentu, mengikuti kandungan media yang berbeza dan berinteraksi dalam ruang digital yang sering mengukuhkan pandangan sedia ada,” katanya.
Pada tahun ini Program Dialog Harmoni diadakan di enam buah lokasi iaitu Kedah (6 Jun), Sabah (16 Jun), Johor (20 Jun), Terengganu (27 Jun), Selangor (8 Julai) dan Sarawak (25 Julai). – SABAH MEDIA



