TUARAN : Kerajaan Negeri Sabah meneruskan pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM339.16 juta sebagai salah satu instrumen utama di bawah agenda pembasmian kemiskinan negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan SYUKUR telah distruktur semula tahun ini dengan kadar RM200 sebulan sebagai bantuan pelengkap kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan kewangan lain yang tersedia.
“Penstrukturan semula program SYUKUR ini membolehkan jumlah penerima diperluaskan daripada 100,000 penerima pada tahun lalu kepada 140,000 penerima pada tahun ini.
“Ini sekali gus bagi memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan ini,” katanya
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman di sini pada Selasa.
Hajiji berkata, amaun pembayaran SYUKUR akan dibayar secara berfasa dengan setiap fasa dibayar secara sekali bayar bagi tempoh tiga bulan iaitu sebanyak RM600 akan dikreditkan ke akaun kepada mereka yang mempunyai nombor akaun dan kepada penerima bantuan secara tunai.
Secara dasarnya, Program SYUKUR ini telah mula dibayar kepada penerima yang layak pada 11 Mac 2026 yang lalu bagi Fasa 1 dan pembayaran Fasa 2 secara dalam talian juga telah mula dikreditkan ke akaun penerima bermula pada 23 Mei 2026 yang lalu.
“Saya amat berbesar hati untuk memaklumkan bahawa pembayaran SYUKUR Fasa 2 bagi agihan pertama secara tunai akan dibuka bermula 18 Jun ini sehingga 23 Jun 2026 kepada penerima yang layak di seluruh negeri Sabah melibatkan seramai 17,848 penerima.
“Pembayaran ini melibatkan bantuan sebanyak RM600 secara sekaligus bagi tempoh April hingga Jun 2026.
“Saya berharap bantuan yang diterima ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan asas keluarga, pendidikan anak-anak serta perbelanjaan harian yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata program outreach seperti ini amat penting kerana ia memberi ruang kepada kerajaan untuk turun padang mendekati rakyat, memahami cabaran yang dihadapi serta memastikan segala bentuk bantuan dan inisiatif kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.



