TONGOD: Rayuan rasmi bagi pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kampung Kenang-Kenangan ke Desa Permai telah dikemukakan semula bagi membolehkan projek berkenaan disenaraikan dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, kertas kerja bagi kajian separuh penggal projek itu telah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah pada April lalu sebagai usaha untuk memastikan cadangan berkenaan dipertimbangkan semula oleh Kementerian Kewangan Persekutuan.
Menurutnya, pembinaan jalan raya tersebut merupakan keperluan mendesak kerana ia menjadi antara cadangan utama yang diperjuangkannya sejak dilantik sebagai wakil rakyat pada 2008.
“Kita mengemukakan rayuan rasmi kerana akses jalan raya itu amat diperlukan penduduk. Ia merupakan satu-satunya cadangan penting yang terus saya perjuangkan sejak menjadi wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Kesyukuran PRN-16 dan Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampung Kuamut baru-baru ini.
Masiung berkata, projek jalan raya sepanjang 50 kilometer yang dianggarkan menelan kos RM350 juta itu diberikan keutamaan dalam kajian separuh penggal supaya dapat dilaksanakan sebagai projek mendesak di bawah RMK-13.
Katanya, beliau telah berusaha memperjuangkan projek tersebut sepanjang lima penggal sebagai wakil rakyat selepas melihat sendiri kesukaran yang dihadapi penduduk Mukim Kuamut sejak lebih enam dekad lalu.
“Saya bersimpati dengan lebih 2,500 penduduk di lima kampung yang terpaksa membayar tambang bot antara RM500 hingga RM700 serta mengambil masa lima hingga tujuh jam untuk berurusan di Pekan Tongod, Bukit Garam atau Kinabatangan,” katanya.
Beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula cadangan berkenaan menerusi Rolling Plan RMK-13 memandangkan penduduk di kawasan itu masih belum menikmati kemudahan jalan raya yang sempurna sejak negara mencapai kemerdekaan.
Masiung berkata, beliau bertekad untuk menamatkan penantian penduduk yang telah menunggu kemudahan jalan raya selama lebih 60 tahun.
“Saya agak terkejut apabila mendapati cadangan projek itu tidak tersenarai dalam data RMK-13 pada awal tahun ini walaupun ia telah beberapa kali diusulkan melalui Dewan Undangan Negeri.
“Atas sebab itu, saya terus mendesak agar jalan Kenang-Kenangan–Desa Permai disenaraikan semula untuk pelaksanaan menerusi Rolling Plan RMK-13,” tegasnya.
Menurut beliau, cadangan rangkaian jalan raya tersebut bermula dari Kampung Kenang-Kenangan dan merentasi Tulang-Tulang, Tangkuyan, Desa Permai sebelum menghubungkan Kuala Kuamut serta Tongkong.
Tambahnya, ketika berdepan kecemasan seperti sakit tenat atau kes bersalin, penduduk di Mukim Kuamut terpaksa menempuh perjalanan yang panjang dengan menggunakan pengangkutan air sebelum dapat tiba di Hospital Tongod atau Bukit Garam untuk mendapatkan rawatan.



