KOTA KINABALU : Rata-rata penduduk khususnya di kawasan Sepanggar sudah muak dan jemu dengan masalah ketiadaan bekalan air sejak beberapa tahun lalu yang dilihat tidak ada jalan penyelesaian.
Malah saranan dan cadangan penduduk agar mengkaji semula paip utama penyaluran bekalan air juga tidak dihiraukan.
Bagi salah seorang penduduk Kampung Unggun Jaya, Halim @ Mataha Burut,57, mengakui masalah isu bekalan air dikawasan perkampungannya itu telah berlarutan hampir lebih 10 tahun.
Katanya, dia bersama keluarganya hanya mengharapkan bekalan air hujan dan kadang kala terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan harian termasuk untuk tujuan makan dan minum.
“Masalah ini telah berlarutan hampir lebih 10 tahun, kami hanya mengharapkan air hujan dan jika tiada hujan jadi kami terpaksa mencari inisiatif lain termasuk membeli air mineral atau mendapatkan bekalan dari lokasi yang ada bekalan air.
“Ini agak menyukarkan dan membebankan kami terutama yang sudah berusia lebih-lebih lagi ketika musim pandemik COVID-19 ini,” katanya.
Halim berkata, beberapa sesi janji temu bagi mengadakan perbincangan bersama Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ir Edward Lingkapo sebelum ini juga tidak dilayan.
“Kami juga ada bertemu dengan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri bertanggungjawab kepada JANS, namun setakat ini arahan yang diberikan kepada Pengarah JANS oleh Menteri bertanggungjawab tidak ada tindakan susulan yang dibuat.
“Saya juga difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai ada menyatakan agar Pengarah JANS meletakkan jawatan sekiranya gagal untuk mengatasi masalah air di kawasan Sepanggar,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Kebagu, KK Daud Damin,48, turut mengakui masalah bekalan air di kawasan perkampungannya turut mengalami masalah sama dan terus berlarutan hingga kini.
Katanya, pelbagai janji telah diberikan oleh jabatan terbabit namun sehingga kini masih belum terdapat perubahan ketara kepada isu bekalan air di Sepanggar.
“Walaupun kampung ini mempunyai paip air tetapi tiada setitis pun air yang mengalir sehingga kini.. Walaupun selepas tinjauan yang dilakukan oleh beberapa orang pemimpin namun masalah ini tetap berlanjutan sehingga kini.
“Bekalan air bersih merupakan keperluan harian yang sangat penting dalam kehidupan.. kami berharap agar masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk di Taman Putera Perdana Latif Diun,50, isu bekalan air yang sering terganggu di kawasan perumahannya turut menyukarkan kehidupan harian khususnya untuk mandi dan memasak.
“Kami tiada pilihan, gara-gara bekalan air terputus kami terpaksa membeli air mineral setiap hari dan kos juga turut meningkat dimana air ini kami gunakan untuk mandi, memasak dan minum setiap hari.
“Disebabkan saya juga salah seorang petugas kesihatan yang sering dedah dengan pesakit COVID-19 maka keperluan air adalah yang utama bagi kami untuk mandi membersihkan diri,” katanya.
Seorang lagi penduduk di Taman Seri Maju, Sabilah Harapan,46, turut mengakui menghadapi masalah sama dan lebih menyukarkan apabila terpaksa mengangkat air ditangki bawah bangunan perumahan yang disediakan oleh pemaju.
“Gangguan air ini hampir setiap hari berlaku, jika ia pulih hanya sehari dua sahaja dan selepas itu kami terpaksa bergantung kepada bekalan air yang disediakan oleh pemaju,” katanya.
Sebelum ini, Sabah Media melaporkan ADUN Karambunai Datuk Yaakub Khan mahu Pengarah JANS Ir Edward Lingkapo meletak jawatan jika tidak serius untuk mengatasi masalah bekalan air.
Semua pegawai lantikan kerajaan warisantut perlu disingkirkan segera, dari pada menyemak terus terima gaji buta.