Noh, Mohamad Angkat Sumpah Jawatan Menteri, Timbalan Menteri

Read Time:1 Minute, 3 Second

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, masing-masing mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara hari ini.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berlangsung di Singgahsana Kecil kira-kira 2.35 petang, istiadat itu dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Ia kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis menandatangani dokumen rasmi pelantikan Noh dan Mohamad, disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang, tidak dapat menyertai majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri 30 Ogos lalu selepas menjadi kontak rapat pesakit COVID-19, manakala Mohamad, Ahli Parlimen Kimanis disahkan positif wabak berkenaan ketika itu.

Noh dan Mohamad diumum menganggotai saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri pada 27 Ogos yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.