KOTA KINABALU : Subsektor agrikomoditi koko di Malaysia merupakan antara penyumbang utama pendapatan eksport negara yang telah menyumbang sebanyak RM6.23 bilion tahun lalu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, komoditi itu juga menyumbang sebanyak RM1.64 bilio kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding RM1.56 bilio pada tahun sebelumnya.
“Lembaga Koko Malaysia (LKM) sedang membangunkan program-program bagi menghasilkan biji koko berkualiti tinggi dan perisa unggul atau fine flavour cocoa serta akan membangunkan sistem pengesanan bagi menyokong pengeluaran biji koko single origin atau fine flavour yang boleh dipasarkan dengan harga tinggi yang mencecah RM15 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja pertamanya ke LKM dengan melawat Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko (PPBK) disini hari ini.
Zuraida berkata, permintaan biji koko premium oleh pengusaha chocolatier juga semakin meningkat dan kini terdapat lapan pengusaha artisan coklat single origin di seluruh negara.
Katanya, kementeriannya yakin pasaran dan permintaan produk koko dapat dipertingkatkan ke lebih banyak negara melalui program berimpak seperti ini.
“LKM juga sedang melaksanakan Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko sebagai pemangkin untuk kemampanan pengeluaran koko tempatan dengan menggunakan konsep ‘Farm to Table’.
“Program ini disasarkan kepada kumpulan pekebun kecil yang secara tradisionalnya terlibat di sektor huluan,” katanya.
Beliau berkata, infrastruktur juga akan dibangunkan bagi memberi kemudahan untuk memproses biji koko yang dikeluarkan oleh mereka.
Katanya, di negeri ini, pusat pengumpulan dan pemprosesan biji koko terkini sedang dibina dan akan siap pada akhir tahun hadapan di Kampung Napong, Ranau.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, selain aktiviti pengeluaran dan perdagangan, pekebun kecil koko juga disyorkan untuk menceburi bidang agripelancongan bagi menarik para pengunjung yang berminat untuk mengetahui konsep Farm to Table.
Katanya, akitviti ini dapat memberikan pendapatan sampingan kepada mereka selain berharap dengan kepelbagaian dan pertumbuhan subsektor ini dapat memberi rolling-effect kepada permintaan koko tempatan.