Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu kluster jenis tempat kerja melibatkan pekerja ladang sawit di Daerah Kinabatangan.
Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster tersebut adalah Kluster Ladang Desa Jerocco 2 , Kinabatangan melibatkan kluster jenis tempat kerja di ladang sawit dalam Daerah Kinabatangan.
Katanya, kes indeks merupakan penyelia ladang, lelaki, warganegara Indonesia, 39, yang disahkan positif COVID-19 oleh klinik panel ladang setelah bergejala sejak 01 September 2021. Dengan keputusan RTK AG positif grading 100%, kes indeks telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut.
“Walau bagaimanapun, aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati 54 orang kontak sosial, pekerja dan tanggungan positif COVID-19.
“Setakat hari ini, 55 kes positif direkodkan dan semuanya adalah kes baharu yang dilaporkan,” jelas Masidi.
“Dalam pada itu, siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan,” tambahnya.