Ismail Sabri Dijadual Hadir Hari Malaysia Khamis Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual akan menghadiri sambutan Hari Malaysia ke-58 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Khamis ini.

Pengerusi bersama sambutan Hari Malaysia 2021 Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sambutan itu akan diadakan secara sederhana mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

“Sambutan Hari Malaysia 2021 akan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni. 

“Selain itu, turut dijadualkan hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan lain-lain dif jemputan,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, meskipun berdepan pandemik COVID-19, namun sambutan Hari Malaysia tetap dilaksanakan bagi memperingati pembentukan sebuah negara.

Katanya, sambutan yang diraikan setiap 16 September setiap tahun tidak kurang pentingnya dengan sambutan hari Kemerdekaan yang perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa agama dan ideologi politik.

“Kita  harus komited mengubah mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia.

“Sambutan ini bukan sekadar memperingati detik sejarah penubuhan Malaysia, malah rakyat Sabah dan Sarawak sudah tentu menginginkan sesuatu yang lebih signifikan dalam konteks pembinaan negara bangsa dengan menitikberatkan kepentingan kedua-dua negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri serta urus tadbir yang baik akan menjadi aspek penting dalam memastikan segala perancangan pembangunan dan pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik.

“Menerusi penubuhan kerajaan baharu, sudah pasti rakyat Sabah dan Sarawak mengharapkan yang lebih baik dari kerajaan sebelumnya agar negeri ini lebih maju dan tidak tertinggal dalam arus pembangunan nasional,” katanya.

Dalam pada itu, Bung berkata, semangat rakyat di negara ini khususnya di Sabah berada pada tahap tinggibagi memastikan penganjuran kali ini lancar demi membuktikan komitmen, kesetiaan dan solidariti kepada Malaysia meskipun sederhana ekoran penularan pandemik COVID-19 

“Pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan tahun ini sudah tentu satu keistimewaan kepada rakyat di negeri Sabah dimana generasi muda akan memahami detik bersejarah yang diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu yang  memperlihatkan penyertaan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah,Sarawak dan sebelum ini Singapura.

“Kesan dari penyatuan tersebut mereka (generasi muda) hari ini turut menikmati kemakmuran dan kemajuan atas nama sebuah negara Malaysia,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *