HomeUtamaEksesais ABABIL Uji Keupayaan, Kompetensi & Kesiagaan Aset TUDM

Eksesais ABABIL Uji Keupayaan, Kompetensi & Kesiagaan Aset TUDM

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA BELUD : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan Eksesais ABABIL 2021 bermula 7 September lalu dan berakhir hari ini.

Eksesais ABABIL merangkumi latihan Tembakan Misil Udara ke Udara (Air to Air Missile Firing – AAMF), Tembakan Misil Udara ke Permukaan (Air to Surface Missile Firing – ASMF) dan Tembakan Udara ke Permukaan Bumi (Air to Ground – ATG).

TUDM dalam satu kenyataan berkata, objektif utama eksesais ini adalah untuk menguji keupayaan, kompetensi dan kesiagaan pesawat dan anak kapal TUDM.

Ia juga merupakan di antara eksesais terbesar yang dilaksanakan oleh TUDM. Meskipun terdapat cabaran situasi krisis kesihatan global pada tahun ini, namun TUDM telah membuat perancangan yang teratur dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kekangan dan cabaran agar eksesais ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan mencapai objektif yang ditetapkan.

“Ianya selaras dengan Teras Keempat yang termaktub di dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Udara iaitu “Memperkasakan Keupayaan Operasi TUDM”.

“Ke arah memperkasakan keupayaan operasinya, TUDM perlu mengoptimumkan sumber kepada keperluan misi operasi, eksesais dan latihan kemahiran selain menentukan sistem dan sumber manusia yang sentiasa bersiap siaga,” katanya.

Dalam pada itu, sejajar dengan visi TUDM untuk menjadi kuasa udara yang dominan, TUDM akan terus memastikan tahap keupayaan, kesiagaan dan kebolehoperasian (interoperability) yang tinggi menjadi keutamaan khususnya di dalam menjaga kedaulatan negara serta mendukung Kertas Putih Pertahanan dengan visi “Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur”.

Terdahulu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM telah mengiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang TUDM bagi menyaksikan demonstrasi Tembakan Udara ke Permukaan Bumi (ATG) yang dilaksanakan di Lapang Sasar Udara (LASARUD), Kota Belud, Sabah.

Turut serta ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohammad Ab Rahman mewakili Panglima Tentera Darat; Timbalan Panglima Armada Timur, Laksmana Pertama Sazali Shoib mewakil Panglima Tentera Laut serta beberapa pegawai kanan tentera dan pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular