PBS Sambut Baik Sokongan PH Terhadap Kerjasama Bipartisan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

KUALA LUMPUR: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik keputusan Pakatan Harapan untuk menyokong cadangan kerajaan bipartisan bagi mencapai kestabilan dan transformasi politik di negara ini.

Pada dasarnya, keputusan kerjasama bipartisan telah berakhir sejak ia dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga minggu yang lalu.

“Sebagai Presiden Parti Bersatu Sabah, saya juga turut terlibat dalam usaha menghulurkan jemputan kepada Ahli Parlimen DAP, PKR, dan Warisan Sabah untuk menyertai kerjasama transformasi ini, tetapi mereka menolak.

“Walaupun keputusan pembangkang untuk menyertai kerjasama ini lewat tiga minggu, namun ianya “lebih baik lewat daripada tiada,” kata Maximus, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Isnin lalu, pihak kerajaan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PH dan merupakan satu kerjasama menitik berat semangat Keluarga Malaysia, dan merangkumi mengukuhkan rancangan untuk memerangi Covid-19, transformasi pentadbiran , reformasi Parlimen, memastikan kebebasan dalam sistem kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

“Saya mengalu-alukan kesediaan pihak PH untuk menerima prinsip-prinsip yang dipersetujui dalam MoU, terutama hal berkaitan MA63, undang-undang lompat parti, mengurangkan had tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun, dan mengurangkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Walau bagaimanapun, dalam hal ini, PBS tidak menyokong penuh pendaftaran automatik pengundi sehingga daftar pemilih di Sabah dibersihkan dari Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Kami sedia bekerjasama dengan PH, terutama isu berkaitan MA63 yang tidak disentuh pihak PH semasa mereka berkuasa, contohnya seperti isu PATI di Sabah, pemberian dokumen secara meragukan yang tidak dapat diselesaikan, status warga asing yang memegang sijil IMM13, Kad Burung-Burung, dan Sijil Bancian, serta isu kemiskinan dan jurang perbezaan pendapatan ketara di Sabah, terutama di luar bandar Sabah,” katanya.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, turut hadir pada upacara menandatangani MoU itu, mengatakan bahawa beliau sempat duduk dan beramah mesra dengan ahli parlimen pembangkang Sabah.

“Pendirian kami di PBS berbeza dari pembangkang dari segi idea, perjuangan politik, dan konsep berbilang kaum,” tambahnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *