KOTA KINABALU : Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) menjadi satu sejarah dalam politik di negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, ia juga mampu menangani masalah pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi menerusi pendekatan kerjasama ‘dwipartisan’.
“Apa yang lebih penting rakyat perlu menang dan keluar dari masalah pandemik COVID-19. Ekonomi dan pendapatan rakyat juga akan mampu dipulihkan selepas ini.
“MoU ini juga dilihat bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong seperti di dalam ucapan baginda ketika merasmikan persidangan Parlimen Isnin lalu,” katanya dalam kenyataan disini semalam.
Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, MoU yang dimeterai ini juga dilihat turut disambut baik pihak PH ketika kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah diabsahkan.
Katanya, semangat MoU ini perlu dilaksanakan dengan sebaiknya khususnya membabitkan hal ehwal rakyat, pemerkasaan institusi Parlimen serta perkara-perkara yang terkandung menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang turut menyentuh negeri Sabah.
“Ini juga dilihat dilihat sebagai satu berita baik menjelang sambutan Hari Malaysia Khamis ini dimana negeri ini menjadi tuan rumah.
“Semoga kita sebagai Keluarga Malaysia berjaya mengeluarkan negara ini khususnya Sabah dari isu-isu pandemik COVID-19 yang telah hampir dua tahun membelenggu negara kita,” katanya.