HomeIsu tempatanRENCANA - SMK Beluran Bestari Warnai Semangat Malaysia Prihatin

RENCANA – SMK Beluran Bestari Warnai Semangat Malaysia Prihatin

Read Time:3 Minute, 17 Second

Sesi persekolahan bersemuka yang digantikan dengan sistem pembelajaran berteraskan teknologi, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukanlah penghalang kepada warga SMK Beluran Bestari untuk mewarnai Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2021 secara norma baharu.

Tulang Belakang Sambutan 
Menurut Pengetua SMK Beluran Bestari, Zulhairul Ramlee, sambutan secara norma baharu itu dilaksanakan secara sederhana untuk menzahirkan rasa kasih dan sayang terhadap negara.

“Pihak sekolah komited untuk meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia norma baharu kerana kami percaya pendidikan merupakan medium utama untuk memupuk semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan generasi muda.

“Secara tidak langsung, para pelajar akan dapat menjiwai betapa rasa cinta kepada negara perlu diterapkan sejak di bangku sekolah kerana mereka adalah generasi pelapis yang bakal mewarisi dan menjaga kedaulatan ibu pertiwi ini,” ujarnya.

Sambutan tersebut dilaksanakan oleh Panitia Sejarah dengan kerjasama Kelab Rukun Negara dengan harapan agar aktiviti-aktiviti sepanjang HKHM ini menjadi pemangkin untuk memupuk rasa cinta akan negara sejajar dengan tema “Malaysia Prihatin” dan mendoakan Malaysia bebas daripada COVID-19.

Aktiviti Semarakkan Sambutan

Pelbagai aktiviti dan pertandingan telah diadakan sejak awal Ogos lepas bagi memeriahkan lagi sambutan secara maya peringkat sekolah dan kemuncak sambutannya adalah pada 16 September ini. 

Antara pengisian aktiviti termasuk Merdeka Photo Contest (SNAP&WIN), melukis poster Malaysia Menangani Pandemik COVID-19, mendeklamasikan sajak bertemakan kemerdekaan, publisiti video kreatif merdeka, dan kuiz kemerdekaan secara atas talian.

Patriotisme Dalam Kalangan Pelajar

Bagi pelajar Tingkatan 4, Clarissa Clarence, 16, inisiatif pihak sekolah menganjurkan pelbagai aktiviti menarik sempena HKHM wajar dihargai oleh semua pelajar.

“Walaupun perang pandemik ini tidak menyebabkan pertumpahan darah seperti kejadian peperangan, setiap hari kita disajikan dengan kematian akibat pandemik Covid-19. 

“Oleh itu, kita perlu sentiasa berjaga-jaga di samping mendoakan kesembuhan mereka yang telah dijangkiti COVID-19.

“Menyambut HKHM secara maya menjadi antara usaha kita untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada negara selain dapat menyambutnya di rumah dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan berkongsi swafoto detik sambutan bersama keluarga tersayang,” kongsinya melalui temubual secara maya.

Rakan Clarissa, Mohd Adam Harris Oslan pula berharap agar sambutan seumpama diperbanyakkan lagi secara dalam talian.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat memperbanyakkan lagi iklan-iklan yang dapat memupuk rasa cinta kepada negara terutamanya melalui perkongsian dalam media sosial ataupun siaran secara langsung di televisyen.

“Sebagai rakyat yang prihatin, kita boleh menggelorakan semangat ini dengan memuat naik foto ataupun video bertemakan kemerdekaan melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram, dan Tik Tok,” ujarnya.

Manakala bagi Kisua Kipli, rakyat di negara ini perlu hidup dalam kesatuan terutamanya semasa pandemik Covid-19 melanda.

“Sebagai rakyat yang hidup berbilang kaum dan agama, kita perlulah bersatu-padu dan saling bertolak ansur demi menjaga keharmonian negara.

“Jadikan Jalur Gemilang sebagai lambang kesetiaan dan kesatuan seluruh rakyat Malaysia, sebagai rakyat yang prihatin adalah menjadi tanggungjawab bersama-sama untuk sentiasa menghormati dan menjaga kedaulatan negara walau di mana sahaja kita berada,” katanya.

JaPen Beluran 

Pegawai Penerangan Daerah Beluran, Melanie Marcellina J Kinjawan berkata pihaknya turut menganjurkan banyak program secara maya.

“Program yang kami jalankan secara dalam talian termasuk Pertandingan Mewarna MYDOODLE@MERDEKA, Pertandingan Melukis MYDOODLE@MERDEKA, Pertandingan Fotografi KLIK@MERDEKA2021, Bintang PATRIOTIK, Pertandingan Melukis MURAL@MERDEKA, Pertandingan Bercerita Kanak-Kanak, Program Kecerian Antara Kementerian, Pertandingan Ilham Merdeka TikTok Challenge #MalaysiaPrihatin dan banyak lagi.

“Selain itu, kami akan meneruskan aktiviti Info On Wheels @Norma baharu dan Merdeka di 40 kawasan di daerah ini,” dedahnya.

Beliau berharap masyarakat Beluran dapat bersama-sama menggelorakan sambutan HKHM di media sosial dengan menaip tanda pagar #MalaysiaPrihatin, #HKHM2021 #DemiNegara #MenangBersama dan #LindungDiriLindungSemua bagi semua aktiviti kenegaraan menerusi platform media sosial masing-masing./Penerangan-

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

October BIG Day usaha pupuk minat aktiviti memerhati burung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular