Sabah FC Berdepan Laluan Sukar Hadapi Saingan Piala Malaysia

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC dijangka melalui laluan sukar peringkat kumpulan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia selepas ia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan Piala Malaysia Johor Darul Ta’zim (JDT).

Turut diundi bersama dalam Kumpulan D adalah PJ City FC dan pasukan tangga keempat Liga Perdana dalam majlis undian hari ini.

JDT yang baru menjulang trofi Liga Super buat kali kelapan berturut-turut Ahad lalu tampak berdepan laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan kejohanan itu musim ini.

Naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC (KDA) juga dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mara ke peringkat seterusnya apabila diundi dalam Kumpulan C bersama Melaka United, juara Liga Perdana sama ada Negeri Sembilan atau Sarawak United dan pasukan tangga kelima Liga Perdana.

Saingan sengit dijangka membabitkan Kumpulan A dan B selepas masing-masing dibarisi tiga pasukan Liga Super dan satu wakil Liga Perdana.

Pasukan tangga ketiga Liga Super, Penang FC bakal berdepan tugas sukar dalam Kumpulan A apabila terpaksa berdepan KL City FC, Sri Pahang FC dan naib juara Liga Perdana musim ini sama ada Sarawak United atau Negeri Sembilan FC.

Kumpulan B mungkin boleh dianggap sebagai ‘kumpulan maut’ dengan perebutan tiket ke peringkat kalah mati akan menemukan Terengganu FC, Selangor FC, Perak FC dan pasukan tangga ketiga Liga Perdana.

Sepak mula saingan Piala Malaysia yang memasuki ulang tahun ke-100 musim ini akan bermula pada 25 September ini.

Kumpulan A – Penang FC, KL City FC, Sri Pahang FC, Naib Juara Liga Perdana (LP)

Kumpulan B – TFC, Selangor FC, Perak FC, Tangga Ketiga LP

Kumpulan C – KDA FC, Melaka United, Juara LP, Tempat Kelima LP

Kumpulan D – JDT, PJ City FC, Sabah FC, Tempat Keempat LP

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *