BELURAN: Program Jalinan Kasih anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) menerusi Pejabat Penerangan Beluran meraikan anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim Al Ehsan sempena Program Merdeka@Komuniti.
Pegawai Penerangan Beluran, Melanie Marcellina J Kinjawan berkata, ia merupakan kali pertama program seumpamanya diadakan di rumah anak yatim tersebut.
“Kami berharap, program yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk ini sedikit sebanyak dapat menyuntik rasa sayang dan cinta mereka kepada negara sempena sambutan Hari Malaysia 2021 pada 16 September ini,” katanya.
Sementara itu, Pemimpin UPPM DUN Labuk, Rafael Lindan memuji usaha yang dilaksanakan oleh jabatan berkenaan untuk menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme di peringkat akar umbi sekali gus menggelorakan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
“Program sebegini merupakan satu usaha yang baik untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab kepada bangsa dan negara,” katanya.
Tambah beliau, permuafakatan antara agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama sendiri tetapi secara tidak langsung juga hubungan dengan komuniti setempat.
Selain menyantuni penghuni rumah Anak Yatim Al-Ehsan, Pejabat Penerangan Daerah Beluran bersama Kelab Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kolapis akan mengadakan Pertandingan Menyanyi Patriotik Merdeka @ Komuniti, Pertandingan Mewarna Hari Malaysia Kanak-Kanak Tabika Kemas, Kempen Derma Darah Hari Malaysia, dan Konvoi Hari Malaysia.
Bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan program-program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Beluran, orang ramai boleh melayari Facebook Pusat Maklumat Rakyat Beluran./Penerangan-