HomeUtamaJoniston Percaya Lebih Banyak Pengumuman Positif Akan Menyusul Daripada PM

Joniston Percaya Lebih Banyak Pengumuman Positif Akan Menyusul Daripada PM

Read Time:2 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Jaminan dan peruntukan pembangunan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob adalah bukti bahawa beliau memahami keperluan Sabah dan Sarawak.

Merujuk kepada peruntukan pembangunan yang diumumkan pada sambutan Hari Malaysia 2021 di sini, semalam, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah, Datuk Joniston Bangkuai juga percaya lebih banyak khabar positif akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kita amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana pengumuman itu bukan hanya mencerminkan bahawa beliau (Ismail Sabri) memahami keperluan Sabah dan Sarawak, tetapi mengundang lebih banyak berita baik, terutama yang berkaitan dengan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu menambah bahawa jaminan Ismail Sabri untuk terus menumpukan perhatian pada keperluan dan hak rakyat Sabah dan Sarawak dan menyelesaikan isu-isu MA63 yang tertunggak melalui Majlis Khas MA63 (MKMA63), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

Tambahnya, Majlis Khas tersebut yang memperlihatkan penglibatan ketua menteri Sabah dan Sarawak dan lapan menteri persekutuan, ditubuhkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional terdahulu untuk mengkaji, meneliti dan mencari jalan penyelesaian terhadap tuntutan dan hak-hakSabah dan Sarawak.

“Isu mengenai MA63 bukanlah perkara baharu. Sebenarnya, ia merupakan perjuangan utama PBS sejak penubuhannya 36 tahun yang lalu. Malah Perdana Menteri mengakui bahawa isu ini sering dibangkitkan menjelang Hari Malaysia.

“Tetapi jaminan Perdana Menterti bahawa segala tuntutan dibawah MA63 akan diteliti, dibincang dan diselesaikan menunjukkan kesungguhan beliau untuk memenuhi tuntutan kedua-dua wilayah, dan rakyatnya,” kata Joniston.

Bangkuai berkata para pemimpin Sabah dan Sarawak ingin jaminan tindakan untuk mengubal Pindaan Perkara 1 (2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk status yang sama rata dan untuk mengkaji semula pemberian geran khas untuk kedua-dua wilayah seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D dan Jadual 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami juga bersetuju dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai pentingnya dalam memastikan isu MA63 yang belum diselesaikan dapat diberi perhatian dengan serius.

“Namun, kami yakin bahawa dengan pengalaman dan pengetahuan Presiden (PBS) yang meluas mengenai perkara ini, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), beliau akan memberi tumpuan semaksimumnya agar usaha melaksanakan apa yang termaktub dalam MA63 dapat dimuktamadkan,” tambah Joniston.

Menyentuh mengenai peruntukan pembangunan, Bangkuai berkata pengumuman peruntukan RM4.66 bilion yang sedang disalurkan di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia ke-12 untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah turut menunjukkan bahawa Ismail Sabri menyedari akan keperluan infrastruktur di Sabah dan Sarawak, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Infrastruktur luar bandar merupakan antara masalah yang perlu ditangani, terutama jalan raya, elektrik dan bekalan air bersih.

“Di samping itu, Sabah juga berhak mendapat peruntukan RM3.61 bilion melalui Pelan Jaringan Digital Negara (JENDELA) untuk meningkatkan lagi akses internet di wilayah ini, yang mana masih kurang terutama di kawasan pendalaman yang mempunyai liputan internet yang teruk,” katanya.

“Kami menghargai dana pembangunan yang diperuntukkan untuk Sabah, tetapi turut mengharapkan dana yang lebih banyak kerana Sabah dikategorikan sebagai salah satu negeri termiskin di Malaysia, walaupun terkenal dengan sumber kekayaannya. Kami berharap ia akan dapat merapatkan jurang pembangunan antara kedua wilayah dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelajar Kolej Vokasional Keningau Wakili Malaysia di Taipei 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular