HomeUtamaPerselisihan dan perpecahan berpanjangan penyebab kerosakan peradaban bangsa dan negara - Taufiq

Perselisihan dan perpecahan berpanjangan penyebab kerosakan peradaban bangsa dan negara – Taufiq

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Perselisihan dan perpecahan yang berpanjangan merupakan antara faktor terbesar menyebabkan kerosakan peradaban bangsa dan negara.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, sebarang pergeseran dan pertelingkahan, serta perbezaan sosial dalam masyarakat majmuk perlu diselesaikan melalui jalan perundingan yang baik.

”Masyarakat majmuk Malaysia menolak keganasan kerana ia bukan satu cara penyelesaian. Perundingan menghasilkan kompromi dan dapat mengawal keadaan untuk menjadi lebih harmoni.

”Pengabaian terhadap etika dan moral, ketika berbeza pendapat serta menjadikan ilmu sebagai modal untuk berselisih, akhirnya akan menghancurkan masyarakat itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan Hari Malaysia melalui facebook rasmi Universiti Malaysia Sabah, di sini, semalam.

Menurut Taufiq, manusia tidak dilarang sama sekali mempunyai perbezaan pendapat, namun adab dan etika perlu dipatuhi.

Beliau turut menyenaraikan dua perkara penting yang mesti diamalkan sesama manusia untuk mengekalkan perpaduan dalam kepelbagian.

”Yang pertama, niat yang ikhlas dalam mencari hak serta melepaskan diri daripada hawa nafsu.

”Dan yang kedua, berlapang dada dalam menerima kritikan dan memahami perbezaan itu adalah fitrah.

”Prinsip yang mesti diamalkan masyarakat adalah semangat perkongsian menikmati kemakmuran negara bersama secara adil dan saksama seperti mana termaktub dalam ikrar Rukun Negara yang dilancarkan pada tahun 1970,” jelasnya.

Ujar Taufiq, dalam keadaan negara yang masih berhadapan dengan pandemik COVID-19, pengorbanan untuk kelangsungan hidup adalah lebih utama.

”Elakkan perasaan ego yang tidak bertempat masing-masing demi kepentingan dalam pembinaan negara Malaysia.

”Hargai perbezaan satu sama lain dan belajarlah untuk lebih bertoleransi. Amalan mulia ini menyedarkan kita bahawa kita semua adalah milik Tuhan, kita semua tidak kekal selama-lamanya, setiap insan yang hidup akan kembali kepada Tuhan.

”Sudah tentu kita mahu meninggal legasi bagi generasi masa depan untuk hidup yang lebih aman hasil daripada usaha kita sekarang.

”Semoga seluruh masyarakat Malaysia akan meletakkan agenda besar yang utama untuk kepentingan masyarakat dan negara agar Malaysia terus aman damai, maju dan disegani dan terus dihormati oleh dunia antarabangsa,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular